
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, mengenai situasi terkini di Gaza. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, mengenai situasi terkini di Gaza, lewat malam tadi.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Perdana Menteri berkata antara perkara yang dibincangkan dalam panggilan itu termasuklah mengenai situasi terkini di Gaza terkait pelanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk melengahkan proses perdamaian yang diusahakan pelbagai pihak termasuk kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
“Saya juga menyanjung usaha gigih yang dilakukan oleh Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.
“Saya turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendukung setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan di samping menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” ujar beliau.
Semalam, pada sidang media bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan, yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus berusaha menyokong Palestin, tetapi memberi amaran terhadap gerakan diplomatik bersifat kosmetik yang gagal menangani punca sebenar konflik.
Untuk rekod, rejim itu dilihat menggunakan tiga kaedah mencari alasan mencabuli syarat gencatan senjata termasuk menghalang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui Rafah dan menghalang penduduk kembali ke kawasan masing-masing.
No comments:
Post a Comment