TATAKELOLA LEBIH BAIK.

 


Dalam amanat di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MOF) pagi ini, saya tegaskan kepentingan Kerajaan meningkatkan tatakelola penjawat awam dalam agenda keseluruhan penstrukturan semula ekonomi negara. 






Tatakelola yang lebih baik bukan sahaja untuk menoktahkan budaya menyakau serta ketirisan, bahkan memudah cara perniagaan serta mengurangkan kerenah birokrasi yang menambah kos dan masa.


Sebagai kesinambungan kepada agenda reformasi menyeluruh negara, saya umumkan bahawa Kerajaan akan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan, yang bermatlamat untuk mencari ruang mengurangkan pertindihan fungsi dan seterusnya menjana penjimatan dana negara.


Saya turut mengumumkan memperuntukkan berjumlah RM15 juta yang akan disalurkan langsung kepada pemain-pemain serta jurulatih Pasukan Harimau Malaya. Dana ini membabitkan sumbangan RM10 juta daripada Kerajaan dan RM5 juta daripada syarikat-syarikat korporat. 


Saya akan meminta Menteri Belia dan Sukan menyelaraskan penyaluran peruntukan ini dengan tuntas, selaras hasrat Kerajaan mengangkat darjat negara serta ketamadunan rakyat. Usaha ini tidak sekadar tertumpu soal menambah baik prestasi ekonomi dan kuasa beli rakyat, sebaliknya perlu memikirkan perihal sastera, seni, kebudayaan serta sukan. 


Saya berharap dana ini akan dapat menambah baik kebajikan pemain-pemain Harimau Malaya serta menjulang prestasi pasukan kita menjadi antara gergasi bola sepak di Asia satu hari nanti, Insya-Allah.


#MalaysiaMADANI



No comments: