Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim telah menarik balik rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi sementara bagi menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika dihubungi Bernama berkata Mohd Azizi turut menarik balik permohonan bagi injunksi Erinford.
Beliau berkata panel tiga hakim yang bersidang pada prosiding secara dalam talian hari ini yang terdiri daripada Hakim Datuk P. Ravinthran dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dari Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Shahid telah menolak rayuan dan permohonan Mohd Azizi untuk mendapatkan Erinford pada prosiding dalam talian hari ini.
Peguam Mohd Azizi Datuk Seri Rajan Navaratnam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Injunksi Erinford ialah perintah mahkamah khusus bagi menghentikan pihak lain daripada berurusan dengan perkara berkaitan tindakan undang-undang sehingga proses rayuan selesai.