Selain kerusi Dun Nenggiri, enam kerusi Parlimen yang kekosongannya dijangka akan diumumkan oleh Speaker Parlimen tidak lama lagi, semua kerusi itu adalah kerusi yang dihuni pengundi Melayu secara majoritinya.
Sementara di blok pembangkang, semua kerusi tersebut dimenangi Bersatu yang mewakili PN, manakala UMNO adalah pemenang kedua dan PH di tempat ketiga.
Oleh yang demikian, bagi pihak PH/BN yang kini telah bekerjasama, parti yang harus meletakkan calon dalam PRK nanti adalah UMNO mewakili BN.
PH, khususnya PKR, tidak perlu berebut atau cuba-cuba mengintai mahu meletakkan calon mereka di enam kerusi tersebut.
Serahkan saja kepada UMNO meletakkan calon yang difikirkannya mampu menang, seterusnya merampas sebahagian daripada enam kerusi itu.
Berdasarkan tinjauan dengan rakan-rakan dalam UMNO, ramai yang mengatakan dua atau tiga daripada enam kerusi itu berpotensi untuk dimenangi oleh UMNO jika PRK diadakan.
Bagi tujuan tersebut, UMNO bukan saja harus menyokong keperluan diadakan PRK di enam kerusi berkaitan, bahkan jika boleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi hendaklah juga memainkan peranannya secara halus dengan Speaker Parlimen, Johari Abdul.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Johari adalah pengikut setia Zahid Hamidi ketika di dalam UMNO dahulu dan ketika Zahid Hamidi menjadi Ketua Pemuda UMNO, Johari telah diberi amanah sebagai CEO Yayasan Gerakbakti.
Yayasan Gerakbakti adalah yayasan milik Pemuda UMNO yang suatu ketika dahulu memiliki banyak aset, antaranya tanah di Kampung Abdullah Hukum, Bangsar (kini telah dibangunkan menjadi KL Eco City) dan Talasco Insurance.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada sekarang ini Yayasan Gerakbakti masih hidup atau sudah damai berada ke alam abadi.
Pokoknya, PRK enam kawasan Parlimen nanti adalah peluang terbaik untuk UMNO menunjukkan kebangkitannya.
Meskipun setelah merosot teruk dalam PRU15, kemudian merudum lagi dalam PRN enam negeri tahun lalu, keadaan kini mungkin sudah sedikit berbeza dengan sebelum ini.
Untuk UMNO menang di semua enam kawasan Parlimen terbabit barangkali amat mustahil, tetapi jika dapat menang dua atau tiga kerusi pun sudah mencukupi.
Kalau itu berjaya dilakukan, ia bukan saja menambah kerusi Parlimen milik UMNO daripada 26 yang dimilikinya sekarang, bahkan boleh dilihat sebagai permulaan kebangkitan untuk menghadapi PRU16 dan PRN Sabah, Melaka serta Johor yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Tetapi, jika tiada PRK enam kerusi Parlimen tersebut, melainkan hanya ada PRK Dun Nenggiri saja, UMNO mungkin tidak dapat menguji kemampuannya untuk bangkit semula.
Di sinilah pentingnya PRK enam kawasan Parlimen itu kepada UMNO. – ShahbudinHusin 01Julai2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/07/01/prk-enam-kerusi-parlimen-medan-ujian-untuk-umno-bangkit-semula.html