DS ANWAR PMX BERSAMA DENGAN PASUKAN KESELAMATAN NEGARA 2024!


Dalam ucapan perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di Putrajaya hari ini, saya tegaskan bahawa tanggungjawab memelihara keselamatan dan kedaulatan negara tidak sekadar di bahu pasukan keselamatan, bahkan perlu dipikul bersama oleh setiap rakyat. Kita tidak boleh terlalu selesa dengan keamanan yang dinikmati ketika ini hingga bersikap lalai tatkala ancaman keselamatan wujud daripada pelbagai sudut, apatah lagi serangan atau permasalahan berisiko muncul dalam keadaan yang tidak terduga. Ancaman semasa tidak sekadar daripada sudut konvensional, sekali gus aspek keselamatan siber perlu turut menjadi keutamaan negara, mengambil kira risiko impak serangan dan jenayah siber terhadap rakyat dan negara. Justeru, peranan pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), CyberSecurity Malaysia dan lain-lain tidak boleh dipandang enteng, terutama dalam memastikan keselamatan serta menangani ancaman dari dalam dan luar negara. Kerana itu, Kerajaan MADANI sentiasa mengangkat aspek kesiapsiagaan aset dan fasiliti serta kebajikan anggota keselamatan sebagai keutamaan. Mengambil kira keadaan daif kebanyakan fasiliti keselamatan sempadan di Utara Semenanjung, saya mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi penambahbaikan fasiliti ini dan ia perlu dilaksanakan dalam kadar segera. Bagaimanapun, saya tegaskan kaedah pembelian aset keselamatan mesti dilaksanakan secara tersusun dan mematuhi tatakelola bagi menjamin integriti serta membersihkan imej pasukan keselamatan negara.




No comments: