SELEPAS SEMUA MP BLOK PEMBANGKANG DIBERI PERUNTUKAN, SOKONGAN ‘ENAM JAHANAM’ SUDAH TAK BERNILAI LAGI



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dipetik sebagai berkata, tuntutan peruntukan oleh Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 17 April ini.


Menurut beliau, ia adalah susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.


“Dalam perjumpaan itu, pihak pembangkang mengatakan mereka mahu peruntukan dan apa saja syarat (untuk beri peruntukan) terserah kepada kerajaan (untuk ditetapkan).


“Saya maklum pada mereka perkara ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk kita kemukakan apa yang dihasratkan oleh mereka,” katanya.


Selain Hamzah, pertemuan bersama Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada 19 Mac lalu turut disertai Ketua Whip Pembangkang, Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee.


Sebelum ini blok pembangkang menolak sebarang syarat dalam pemberian peruntukan yang mereka pohon itu.


Tetapi, berdasarkan situasi semasa, blok pembangkang nampaknya sudah mula berlembut dan bersedia untuk menerima apa saja syarat yang akan ditetapkan oleh kerajaan.


Yang penting, bagi blok pembangkang sekarang ini ialah mereka diberi peruntukan untuk menjaga kawasan masing-masing.


Terdahulu, enam Ahli Parlimen blok pembangkang telah mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan madani kerana mereka begitu berharap dengan peruntukan daripada kerajaan.


Mereka ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi; Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.


Mereka kini sedang berdepan kemungkinan dipecat dan hilang kerusi masing-masing berikutan lulusnya pindaan perlembagaan oleh RoS, baru-baru ini.


Tetapi, dengan perkembangan terbaru di mana isu peruntukan untuk Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang akan diputuskan pada 17 April ini, ia bermakna selepas ini sokongan “enam jahanam” itu sudah tidak bernilai lagi kepada kerajaan madani.


Ini kerana, semua Ahli Parlimen, sama ada menyokong kerajaan madani atau tidak, mereka tetap akan diberikan peruntukan.


Nak patah balik sokong PN mungkin ada rasa malu, tetapi kekal menyokong kerajaan madani pun tidak lagi membezakan mereka dengan semua Ahli Parlimen blok pembangkang daripada segi pemberian peruntukan untuk menjaga kawasan masing-masing.


Kalau hilang pula kerusi Parlimen selepas ini, ertinya rugi begitu saja kegopohan mereka mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan sebelum ini.


Bukan saja orang tamak yang selalu rugi, orang gopoh pun selalunya jarang yang untung…Hehehehe – ShahbudinHusin 13/04/2024


https://shahbudindotcom.net/2024/04/13/selepas-semua-mp-blok-pembangkang-diberi-peruntukan-sokongan-enam-jahanam-tidak-bernilai-lagi.html



No comments: