AMK Kedah mahu projek LRA diselesaikan, noktahkan masalah bekalan air


 

Oleh: Abdullah Zaid



Kelewatan dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau di bawah agensi Kerajaan Negeri Kedah memberi kesan buruk kepada bekalan air rakyat Kedah di kebanyakan kawasan terjejas.



Menurut Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail, Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu menyelesaikan segera projek sakit itu bagi memulihkan bekalan.



Katanya, SADA dilihat perlahan dalam mengendalikan projek rawatan air bersih sehingga menyukarkan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian terutama di kawasan Sungai Petani dan Merbok.



"Ramai terkesan, kita faham mungkin tidak dapat diselesaikan pada Hari Raya ini akan tetapi komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri itu perlu ada kerana masalah ini sudah berlaku sejak 9 tahun lalu," katanya kepada Suara Keadilan.



Tambah Fitri, masalah bekalan air itu bukan sahaja menyukarkan kehidupan seharian malah dibimbangi akan memberi kesan kepada penurunan nilai hartanah di Sungai Petani dan Merbok yang kian meningkat ketika ini.



"Oleh itu, Kerajaan Negeri perlu ada iltizam dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah ini," ujarnya.



Untuk rekod, dua projek bekalan air di LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau dianggap projek bermasalah oleh kerajaan pusat kerana sepatutnya telah siap namun tergendala akibat kenaikan harga bahan binaan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri Pas yang tidak memaklumkan kenaikan tersebut sehingga menyukarkan penyaluran peruntukan tambahan.

 

No comments: