JAMINAN MENTERI KDN PATUT DIBERIKAN TABIK AWAL DUA BELAH TANGAN


Jaminan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail bahawa tidak akan ada campur tangan politik dalam kelulusan RoS berkaitan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan parti itu Sabtu lalu, tentu saja sesuatu yang melegakan.


Jaminan itu bukan saja melegakan Bersatu, malah juga memberi kelegaan kepada rakyat yang mahu melihat politik negara ini sentiasa bersih dan tidak dikotori oleh golongan pengkhianat, pembelot dan mereka yang sanggup menjual sokongan.


Selepas pindaan tersebut diluluskan oleh RoS nanti, hanya ada dua pilihan bagi enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang telah mengalihkan sokongan mereka – berdepan pilihan raya kecil atau kembali ke lubuk asal PN.


Terserahlah kepada mereka membuat pilihan dan pertimbangan.


Kerajaan pun tidak perlu kepada sokongan kelompok seperti tujuh wakil rakyat berkenaan kerana selain ia tidak ikhlas, ia turut mencemarkan nama baik kerajaan madani yang dipimpin Anwar Ibrahim.


Hakikatnya, sama ada bakal diadakan PRK atau mereka itu kembali kepada PN, imej kerajaan dan Anwar selaku Perdana Menteri tidak lagi dilihat tercemar dan automatik kembali bersih selepas ini sebagaimana itulah pilihan yang telah dibuat oleh rakyat.


Dalam reaksinya kepada pindaan perlembagaan Bersatu Sabtu lalu, sambil beberapa pemimpinnya mengharapkan tiada masalah mendapat kelulusan RoS, Saifuddin menegaskan, pihaknya tidak sekali-kali akan membenarkan ada campurtangan politik berkaitan dengannya.


“Kita tidak sesekali akan berbuat demikian dan menjadi satu kesilapan besar sekiranya pembangkang cuba mendakwa ada campur tangan politik dalam sebarang keputusan yang akan dibuat oleh RoS kelak.


Itu masalahnya, sebab mereka pernah buat campur tangan politik, jadi mereka fikir saya akan buat macam apa yang mereka buat.


“Dia pernah buat campur tangan politik ke atas akta pertubuhan, jadi mereka fikir Menteri Dalam Negeri sekarang pun akan buat seperti yang mereka buat.


“Silap besarlah,” katanya lagi.


Bagaimanapun, Saifuddin berkata, beliau belum menerima sebarang pemakluman daripada RoS sama ada Bersatu sudah menghantar permohonan bagi kelulusan pindaan perlembagaan itu atau sebaliknya.


“Saya belum dapat apa-apa lagi setakat ini, mungkin mereka ada hantar permohonan, cuma saya belum dapat pemakluman lagi (daripada RoS),” tambahnya.


Maka itu, sementara menunggu kelulusan RoS, semua pihak, termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang telah beralih sokongan itu, diharap tenang-tenang saja menerima ketentuan takdir yang bakal tiba nanti.


Kerajaan madani adalah kerajaan yang berpegang pada janji, bila menteri dah kata tiada campurtangan politik, maka pastilah tiada campurtangan politik untuk menghalang kelulusan pindaan perlembagaan Bersatu itu.


Lagi pun, daripada segi logiknya, oleh kerana DAP dan UMNO telah lebih dulu meminda perlembagaan mereka bagi diselaraskan dengan Akta Anti Lompat Parti dan RoS tiada masalah meluluskannya, sudah tentulah Bersatu juga berhak mendapat layanan yang sama.


Dalam hal ini, jaminan Saifuddin yang tidak membenarkan campurtangan politik itu patut diberikan tabik awal dua belah tangan kepadanya. – ShahbudinHusin 09/03/202;


https://shahbudindotcom.net/2024/03/09/jaminan-menteri-kdn-harus-diberi-tabik-dua-belah-tangan.html