LANGKAH JANDA BAIK KANDAS?


Malam ini ( Ahad 12 Februari) akan berlangsung mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang pada awalnya, ia antara lain bertujuan melakukan beberapa rombakan dalam struktur kepimpinan tertingginya.


Antara yang dikatakan dirancang untuk dilakukan ialah menukar Setiausaha Agung daripada Hamzah Zainuddin kepada Azmin Ali.


Sebelum ini, rombakan itu sepatutnya dilakukan pada mesyuarat MPT Bersatu pada 28 Januari lalu.


Namun, pada mesyuarat tersebut, rombakan yang dirancang itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hanya pengumuman perlantikan Azmin sebagai Pengerusi baru Bersatu Selangor menggantikan Abdul Rashid Asari.


Selain itu, tiga Ahli MPT yang baru turut dilantik di mana dua daripadanya adalah orang kuat Azmin iaitu Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasaruddin.


Seorang lagi yang dilantik sebagai Ahli MPT ialah Nolee Ashilin Radzi, adik ipar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja.


Maknanya, meski Azmin tidak dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Hamzah pada 28 Januari lalu, kedudukannya kini dalam parti terus diperkukuhkan.


Menjelang mesyuarat pada malam ini, sejak minggu lalu lagi sudah kedengaran banyak perkhabaran bahawa akan berlaku perubahan jawatan Setiausaha Agung setelah ia tertangguh sebelum ini.


Ia berikutan dikhabarkan telah berlaku pertemuan melibatkan beberapa pemimpin Bersatu pro Mahiaddin Md Yasin di Janda Baik dua minggu lalu untuk membincangkan perkara tersebut.


Difahamkan dalam perjumpaan yang dinamakan “Langkah Janda Baik” itu telah dimuktamadkan Azmin akan dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baru menggantikan Hamzah.


Jangkaannya, malam inilah pengumuman itu akan dilakukan.


Namun demikian, 24 jam sebelum berlangsung mesyuarat MPT Bersatu malam ini, besar kemungkinan rombakan itu tidak dapat dilakukan kerana Mahiaddin dikatakan bimbang ada kesan negatif kepada dirinya.


Adalah diberitakan Ahli-Ahli Parlimen Pas tidak senang dengan hasrat Mahiaddin menggugurkan Hamzah itu.


Ahli-Ahli Parlimen Pas lebih rapat dan akrab dengan Hamzah berbanding dengan Mahiaddin.


Bimbang tindakan menggugurkan Hamzah itu bakal mengundang tindak balas negatif daripada Pas, lebih-lebih lagi kerana Mahiaddin masih membara cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, maka boleh dikata selamatlah kedudukan Hamzah malam ini.


Ertinya “Langkah Janda Baik” telah kandas di tengah jalan dan “Langkah White House” dipercayai akan terus meriah beroperasi. – ShahbudinHusin 12/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/12/langkah-janda-baik-kandas.html