CADANGAN KAMPUNG BARU CINA TAPAK UNESCO TIDAK WAJAR DIPOLITIKKAN






 Cadangan mewartakan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia tidak harus dipolitikkan sehingga memecah belah keharmonian kaum.

Malah, kata Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Kasim, pewartaan oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu masih diperingkat cadangan selain pihak pembangkang dan NGO pro mereka tidak seharusnya menakut-nakutkan orang Melayu, memperlihatkan ianya satu ancaman.

“Saya berpandangan terancam itu bila mana mana kampung Melayu secara tiba-tiba diwartakan UNESCO sebagai kampung Cina, itu baru boleh dianggap sebagai ancaman.

“Namun, jika hanya mewartakan kampung Cina yang sememang dihuni oleh masyarakat Cina ia bukan sesuatu yang mengancam,” katanya kepada Suara Keadilan.

Jelas Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor itu, cadangan pewartaan bukanlah sesuatu luar biasa malah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencalon mana-mana lokasi yang berpotensi diwartakan sebagai tapak khazanah dunia.

“Setakat ini UNESCO sudah iktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia, Melaka (Bandaraya Kota Melaka) antara yang diangkat menjadi tempat yang diiktiraf, jadi tiada isu sebenarnya bagi pihak pembangkang mahu jadikan ia sebagai bahan politik.

“Bahkan menjadi tugas kerajaan untuk mencalonkan mana-mana tempat yang berpotensi sebagai tapak warisan supaya dapat memberi manfaat dan peluang ekonomi kepada penduduk kampung di situ,” ujarnya.

Terdahulu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil mempersoalkan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dakwanya, Kampung Baru di Kuala Lumpur dilihat mempunyai nilai dan sejarah lebih tinggi tinggi selain lebih bertepatan dengan dasar dan identiti negara.

Justeru, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pewartaan itu yang masih dalam peringkat cadangan dan diperhalusi selain menambah, pengiktirafan kawasan Geopark membabitkan kampung Melayu juga telah lama dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Selain Bandaraya Kota Melaka, UNESCO sudah mengiktiraf empat tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia, iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak (2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (2000), Georgetown, Pulau Pinang (2008) dan Lembah Lenggong, Perak (2012).


No comments: