Projek tebuk atap sudah jadi endemik

 

Projek tebuk atap sudah jadi endemik

MENJOLAK MENTARI 



Anwar angkat sumpah sebagai
PM ke-10.

DIAWAL projek untuk menumbangkan kerajaan Perpaduan dan sekaligus membuang Anwar dari kerusi nombor satu negara frasa ketiga saya ditanya seorang kawan, "Sheikh ada apa berlaku di PMO?" Saya tidak segera menyedari apakah maksud pertanyaan itu. Bahawa kawan itu telah mendengar riak risik akan bakal berlaku kegemparan, dimana kerajaan akan tumbang dan Anwar Ibrahim akan tercabut dari kerusi perdana menteri.

Melalui risikan dan sumber-sumber diperolehinya, konon Anwar akan dijatuhkan dan kerajaan akan bertukar dalam masa terdekat. Tampaknya pertanyaan kawan saya itu menyakinkan dan bersemangat sekali. Mungkin dia seronok kalau Anwar tumbang kerana sebab-sebab tertentu.

Saya menjawab pertanyaan kawan saya itu ringkas sahaja, dengan berkata saya tidak ada apa apa maklumat tentang PMO. Betul saya tidak ada apa-apa maklumat. Dan kalau apa yang hendak diceritakan itu itu bersabit (memburukkan) Anwar, saya tidak minat. Saya tidak sama sekali lagi menjadi nangka yang masak tetapi busuk.

Lantas kawan itu kemudian mengucapkan terima kasih dan seakan tidak senang dengan reaksi saya itu. Mungkin dia menganggap saya naif terhadap apa yang beliau tahu dan ingin beri tahu itu, maklumlah akhir-akhir ini saya menghadkan pergerakan untuk mengendap aksi politik negara. Dan tua dah...

Beberapa jam selepas itu, atau keesokan hari ini, baru saya dapat menangkap apa yang dimaksudkan kawan itu, bahawa ada maklumat diketahuinya mengenai gerakan untuk jatuhkan Anwar yang dipanggil Langkah Dubai sedang beraksi. Berita Langkah Dubai pun keluar bertalu-talu macam guruh di langit dan bersambung dari mulut ke mulut, dari mulut manis sampai ke mulut rabit ia berceceran. 

Ia menjadi kencang dan meresahkan semua orang apabila para citro ashabul khafi yang baru bangkit dari mengingau memainkan peranannya menyebarkan isu berkenaan, menuba dan meracuni minda rakyat. Mereka jaja dan laung lelong isu berkenaan kepada umum dari kedai kopi hingga ke surau dan sekolah. Para ashabul khafi ini dengan berani dan yakin sampai menyebutkan akan saat dan jam kejatuhan itu. Ada yang menyebut angka dan jumlahnya sekali. Ada yang membuat laporan langsung kononnya pintu istana sudah dibuka untuk upacara mengangkat sumpah perdana menteri baru. 

Dalam medsos riuh randah dengan para pemerhati penyokong politik di semua puak membuat tanggapan masing-masing. Jumlah penganalisa politik pun bertambah dengan tiba-tiba mengikut kecenderongan masing-masing. Yang seronok dan percaya dengan berita itu bergembira, bertepuk tangan dan meloncat-loncat macam kera kena belacan, ada yang sampai tercabut kain pelikat dan nampak batu peli*. Ada yang sudah sembelih ayam dan kerbau untuk kenduri kesyukuran hadirnya perdana menteri baru.

Manakala yang sayang kerajaan dan masih belum puas melihat Anwar jadi perdana menteri ikut tersasau dan terkesal dengan berita itu. Sedih dan kecewa. Sudah ada yang tidak makan dan tidak minum bimbang mengenangkan berita itu. 

Setengahnya tak nak bercakap dengan isteri atau suami kerana memikirkan nasib kerajaan dan nasib Anwar, walaupun sejak jadi PM ini Anwar tidak pun memikirkan nasib mereka. Almaklumlah berdekad mereka memperjuangkan untuk menobatkan Anwar sebagai PM tiba-tiba jatuh begitu sahaja. Siapa tidak hiba dan kecewa.

Saya juga tidak terlepas turut dihujani pertanyaan daripada berbagai orang, dari penyokong biasa, ahli parti sampai ke penyokong berprotokol bertaraf bekas menteri. Cuma yang tidak bertanya tentang itu kepada saya ialah lembu, kerbau, biawak, monyet dan beruk sahaja. Kalau digolongkan makhluk orang (politis) hampir semua bertanya ingin mengetahui kedudukannya.  

Mungkin bagi mereka (haiwan), apa perlu dan pentingnya mereka mempedulikan kepada maklumat yang disampaikan oleh para "citro ashabul khafi" itu. Mereka tidak kisah siapa yang jadi kerajaan, apakah ia ulama atau umarak. Apakah ia seorang teknokrat ataupun keparat. Lagipun cerita dibawa citro ashabul khafi daripada orang yang tidak tidak boleh dipercaya kerana ia bersemabur dengan igau dan mimpi. 

Sesungguhnya haiwan mempunyai sense atau naluri yang tinggi tentang sesuatu. Monyet, kerbau, beruk kera, musang, tenggiling dan sebagainya tidak bercakap tentang sesuatu yang tidak jelas, berupa popagada atau karut marut dan khayal. Mereka adalah makhluk realitas. 

Hal itu Quran pun ada menyebut, haiwan itu adakalanya lebih baik nilai daripada manusia. 

Saya bukan mereka (binatang), tetapi justeru saya tidak mengambil pot sangat pun dengan berita dan laporan untuk jatuhkan kerajaan itu. Saya banyak menggunakan logikal dengan melihat kepada data dan fakta dari menggunakan khayalan, apa lagi menerima maklumat daripada yang tidak berwibawa, wartawan yang tidak beretika. Kita perlu menggunakan akal untuk mempertimbangkan sesuatu berdasarkan pengalaman, sejarah dan pengamatan logikal.

Namun saya tidak dapat mencuci tangan sebegitu saja. Selepas dihujani pertanyaan dan kemusykilan adalah saya menerangkan akan kedudukan maklumat berkenaan, tetang kesahihan cerita hendak jatuhkan kerajaan itu menerusi platform Tiktok. Ada tiga konten yang saya buat menafikan laporan berkenaan. Saya memberi tahu dan bercerita, apa yang saya tahu dan menekankan apa yang diledakkan itu hanya cerita yang direkayasakan. 

Namun penjelasan itu bukan senang untuk berhenti keriuhan perkara itu kerana para pelarisnya terlalu ramai dan lebih ghairah. Keriuhan itu lalu menjadi-jadi lagi, dan menggelisahkan mereka yang mudah berdebar (lemah jantung) apabila Timbalan Pengarah J-Kom Ismail Yusof membuat kenyataan mengulas hal itu dengan menggesa kerajaan bertindak ke atas para penyebarnya atas alasan ia boleh menganggu kententeraman  awam. 

Kenyataan Ismail itu sebagai mengesahkan gerakan itu kerana ia datang dari agensi rasmi kerajaan. 

Tidak cukup kenyataan Ismail itu, cerita mengenai gerakan itu ditambah garam pula oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan dia ada maklumat awal-awal lagi tentang rancangan Langkah Dubai itu. Kononya sebelum penggerak projek itu ke Dubai beliau sudah mendapat maklumat. Biasa sihir politik Zahid dapat tahu awal tetapi kekurangan tenaga untuk menghentikannya?

Dan menjadi tambah menggelisahkan dan berita karut itu terus merodok perasaan mereka yang lemah jantung dan saraf tunjang apabila Anwar Ibrahim seorang oritor yang pantang tengok microphon ikut sama mengomen mengenai berita karut itu. Kelemahan Anwar tentang satu ini pantang dengar gendang politik akan terus menari sesuatu yang menggusarkan juga.

Saya tetap diam dan senyum dalam rasa muak dengan apa yang berlaku. Entah kenapa hati saya sedikit pun tidak terusik dengan maklumat tentang gerakan itu. Mungkin jiwa saya sudah tepu dengan kejijikan dan kekolotan politik Malaysia ini.  Sudah biasa sangat dengan segala macam propagada, pyswar atau pre-empt dimainkan dalam dunia politik.  

Dan kerana sudah muak dan loya dengan projek hendak jatuhkan kerajaan itu, saya tidak mahu bercerita panjang mengenainya disini. Apa yang hendak disimpulkan cerita itu itu begini sahaja. Projek tebuk atap atau nak guling kerajaan ini adalah projek mereka yang berdendam, dengki dan berotak sewel. 

Mereka yang tidak mempedulikan soal negara dan rakyat dan hanya memikirkan soal kuasa dan kepentingan diri sendiri. Projek mereka yang kehausan kuasa. Mereka seperti nyamuk tiruk yang kekeringan darah dalam tubuh akan mengejar apa sahaja untuk kebutuhan mereka. Kalau bangkai boleh memenuhi keperluan mereka bangkai pun mereka hentam.

Jika kita mengidentifykan mereka satu persatu kita akan kenal siapa mereka dan kenapa mereka jadi sedemikian. Mereka yang menjadi kepala kepada gerakan itu dan menyokong gerakan itu bertindak menjadi pemuda ashabul khafi adalah mereka yang ada masalah peribadi dengan Anwar. Mereka yang bergaduh dengan Anwar keseorangan tanpa pun Anwar mengetahuinya. Mereka mengharap simpati dan perhatian dari perdana menteri, tetapi tidak berjaya. 

Sisi lain propaganda itu menakutkan juga kerana mengenangkan peristiwa tahun 2020 dahulu apabila tumbangnya kerajaan PH apabila ia dikudeta menerusi pengkhianatan Langkah Sheraton. Langkah Sheraton tidak berhenti disitu sahaja apabila berlaku pula kejatuhan atau pertukaran PM yang kedua apabila Mahiaddin "terkanyal" dari kerusinya diganti dengan Ismail Sabri Yaakob. 

Kejatuhan Mahiaddin dilihat sangat mudah, dari puncak terus ke bawah pangkal tanpa terhalang halang. Ibarat jatuhnya buah mangga dari atas puncak ke bawah tanpa tersangkut atau tertimpa di mana-mana dahan dan ranting. Kejatuhan laju dan diluar dugaan. 

Jadi peristiwa yang menimpa ke atas Mahathir dan Mahiaddin itu menjadi trauma kepada rakyat negara, khasnya golongan politik. Kejadian itu membayangi mereka menyebabkan terfikir ia akan menimpa ke atas Anwar pula. Itulah menyebabkan berita karut marut yang dijajah oleh tujuh citro ashabul khafi itu mudah menjadi racun dan sempat membingitkan negara.

Namun kepada yang tebal iman dan pengetahun politiknya, tidak takut dengan berita dan kejadian itu.  Kedudukan Anwar sebagai PM sebenarnya telah dkunci oleh Yang diPertuan Agong. Al Sultan Abdulah telah menitihkan dengan berharap sebelum baginda berangkat pulang ke Pahang setelah tamat tempoh berkhidmat lima tahun, tidak akan ada PM baru lagi. Ertinya Anwar akan kekal menjadi PM, dan tidak boleh diganggu gugat sehingga akhir Januari. Beliau dijamin oleh istana.

 Kalau orang memegang dan memahami maknawi kata-kata dan harapan Al Sultan Abdulah itu tidak perlu risau dan gusar dengan kedudukan Anwar. Tidak perlu mudah terusik dan percaya dengan cerita-cerita rekayasa, hantu pucung dan toyol yang dibuat dalam media sosial.  Apa lagi bagi mereka yang waras dapat menilai pencapaian dan kejayaan Anwar sebagai PM dalam tempoh setahun ini, yang membanggakan, tidak akan terfikir dengan cerita khayal itu sebaliknya akan menangkis apa saja maklumat memburukkan kerajaan apa lagi mengenai kerajaan akan jatuh.

Kerja untuk menjatuhkan Anwar sudah pun reda. Tanpa mengaku kalah pihak yang membencinya sebenar sudah pun tewas dan gagal. Namun mereka tidak akan berhenti dari terus membawa lagu lama  itu. Lagu-lagu klasik ini asyik juga didengar sesekali sekala sebagai hiburan. Macam jubah terkena najis kucing walaupun dibersih baunya tetap ada.

Mereka tidak akan pernah padam cita-cita dan harapan. Mereka perlu menumbangkan kerajaan Perpaduan yang menakankan kepada soal tatakelola ini bukan untuk kepentingan rakyat tetapi menyelamatkan diri mereka. Itu rahsia kenapa mereka bersungguh hendak lenyapkan kerajaan hari ini.

Mereka perlu berbuat begitu kerana tidak ditahan diserang dengan bayangan ketakutan. Kerajaan Madani ini akan memburu mereka dan sesiapa bersalah. Kerana itu mereka yang tidak ada apa-apa kesalahan mendukung dan menyokong penuh kerajaan dan Anwar.

Ditegaskan usaha atau projek tebuk atap kini sudah jadi endemik. Projek ini macam Covid-19 dahululah mula-mula bukan main kita takut dan gerun mengenai wabak itu. Ke mana-mana kita pergi pakai mask dan waspada. Bukan itu sahaja kita dikenakan PKP tidak boleh keluar rumah.

Sampai dunia menjadi gelap gulita. Sampai segala kegiatan seharian turut terhenti kerana gara-gara takutkan Covid. Sekarang apa berlaku, apa jadi dengan Covid? Apakah Covid sudah hilang, tidak. Covid tetap ada ia sudah jadi endemik, sudah jadi wabak biasa macam Denggi. Kita tidak perlu takut lagi dan boleh bergerak ke mana-mana sahaja. Kita lupa kepada mask, kepada sanitizer, dan juga lupa kepada timbunan mayat akibat Covid. Kita sudah kalih dengannya.

Nah, begitu juga dengan projek orang gila dan sewel tebuk atap ini ia sudah jadi endemik. Walaupun syaitan dan iblis yang terlibat dengan gerakan projek itu masih ada, masih galak, tetapi mereka sudah lemah, sudah letih, ada yang terperap di hospital kecapekan. Apapun wajar kalau kerajaan terus melakukan imunisasi ke atas rakyat untuk menyelamatkan mereka dari terkesan dengan wabak projek tebuk atap yang tidak kesudahan ini selagi orang-orang sinting dan ising masih bernyawa.  [wm.kl. 8:34 am 08/01/2024]

Glossori

Kanjal = terpecat, tercabut, tertanggal