Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri
Muhammad Sanusi Md Nor selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah persatuan bola sepak
pagi tadi.
Dilaporkan, pemimpin kerajaan
Kedah itu memberi keterangan hampir tiga jam bagi membantu siasatan.
Namun, menerusi klip video
Suara Madani, Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu tidak
memberhentikan kenderaan selepas selesai memberi keterangan, walaupun disapa
media yang menunggu sejak pagi lagi.
Malah pemimpin Pas yang lebih
dikenali sebagai ‘sempoi’ itu tidak membuka cermin keretanya sama sekali.
Dalam pada itu, Sanusi
dikehendaki hadir ke SPRM berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Keterangan itu difahamkan bagi
membantu siasatan SPRM selepas menerima laporan daripada beberapa individu yang
sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri Kedah sekiranya
menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.
Namun, selepas dana disalurkan
ke akaun persatuan bola sepak itu kontraktor-kontraktor yang menyalurkan dana
masih tidak menerima sebarang projek sebagaimana yang dijanjikan.
Bagaimanapun, pada 7 Januari
lalu, Sanusi mendakwa wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan
Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.