Cukup jumlah perlu diumumkan ketua PN bukan penulis blog


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Sebarang usaha untuk menumbangkan kerajaan tidak mungkin berlaku kerana apa yang digembar-gemburkan pada waktu ini tidak melalui proses yang sepatutnya mengikut undang-undang.



Penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, proses untuk mengambil alih kerajaan dengan menyatakan sudah cukup jumlah sokongan Ahli Parlimen perlu dilakukan di Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya bukan melalui jalan selainnya.



"Cukup jumlah juga perlu diumumkan oleh ketua-ketua parti tetapi kita lihat yang umumkan itu adalah penulis blog, ini agak berbeza.



"Kuasa untuk melantik Perdana Menteri pula adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan bloger dan parti pun hanya boleh umumkan calon (PM)," katanya dalam program Borak Dahsyat: 'Apa Sebenarnya Langkah Dubai' terbitan Studio Dahsyat malam tadi.



Program itu turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mantan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Abdulllah Sani Abdul Hamid.



Awang Azman berkata, ramai juga pihak bertanya siapakah bakal calon Perdana Menteri yang cuba ditonjolkan oleh pihak yang mahu menumbangkan kerajaan sekarang.



"(Pada saya) dia mestilah seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti dan dilantik oleh Agong dan bukannya penulis blog," katanya.



Pensyarah yang berasal dari Sarawak itu berkata kemungkinan berlaku perubahan kerajaan juga boleh dilihat sejauh mana kedudukan kuasa penentu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).



Katanya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sudah beberapa kali menegaskan pendiriannya menyokong Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah mengatakan sebaliknya.

"Jadi saya kira apabila GPS berulang kali di Sarawak berikan kenyataan tetapi dibuat juga (usaha tukar kerajaan) ada suatu perkara yang tidak kena. Ada kekecewaan di minda yang berlaku akibat sindrom penafian seolah-olah mereka (PN) tidak berhenti selagi tidak mendapat kerajaan," ujarnya.



Sebelum ini, katanya pihak pembangkang mengumumkan kepada penyokong mereka bahawa kerajaan akan tumbang dalam masa tiga bulan dan jika sekiranya tidak berlaku mereka boleh bubarkan parti.

Jelasnya, sepatutnya penyokong kerajaan mengambil kesempatan untuk menyerang balik pembangkang kerana janji kepada pengikut mereka tidak menjadi dan parti mereka tidak dibubarkan.



Katanya, pemimpin pembangkang dilihat menggunakan isu pertukaran kerajaan untuk terus mendapat momentum sokongan daripada pengikut mereka yang sangat walak (taat).



"Kadang-kadang apabila sudah ditipu banyak kali mereka mempertikaikan inilah sebab penyokong mereka mula berfikir jadi rasional, mengapa tidak berlaku (tukar kerajaan), sebab itu ada yang kecewa ada yang umumkan sokong kerajaan (PM)," katanya.



Jelasnya apa yang menghairankan pengikut parti pembangkang terutamanya Pas tidak pula mempertikaikan pemimpin mereka yang terus menggunakan isu tukar kerajaan untuk memastikan momentum sokongan terus kekal.



"Cara mereka wujudkan persepsi lebih hidup daripada realiti," sinisnya.



Dalam hal ini, kata beliau, pembangkang menghadapi kesukaran apabila kestabilan politik membolehkan kerajaan menunjukkan prestasi yang baik seperti kadar inflasi menurun, pengangguran rendah dan defisit dapat dikurangkan.



Kata Awang Azman, fokus sebenar rakyat pada masa ini adalah peralihan kuasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong dari Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Februari ini.



"Mana mungkin Yang di-Pertuan Agong mahu melayan perkara yang diumumkan oleh penulis blog dan bukannya ketua-ketua parti.



"Saya kira rakyat dan penyokong mana-mana parti kena rasional berfikir dan sentiasa bertanya apakah perkara ini betul? Logikkah 150 majoriti, di luar kawalankah? Perkara ini perlu diterapkan agar penonton (rakyat) tidak cepat cemas dan bimbang malah mudah percaya," katanya.