Fail segera usul undi tidak percaya terhadap PM, Hassan beritahu pembangkang

 



Hassan Karim berkata usul perlu difailkan 14 hari sebelum persidangan bermula 26 Feb depan.


PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat kerajaan menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Perikatan Nasional (PN) perlu serius jika mahu menguji keabsahan Anwar yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan Langkah Dubai.


Menurutnya, tindakan itu boleh dilaksanakan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan usul perlu dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula pada 26 Feb dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi usul boleh difailkan sekarang jika pihak pembangkang serius untuk bentang usul tidak percaya itu.

“Usul undi tidak percaya itu boleh dibentangkan pada keesokannya 27 Feb,” kata Hassan kepada FMT.

FMT semalam melaporkan kenyataan seorang peguam Bastian Pius Vendargon bahawa cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar adalah di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan wujudnya “Langkah Dubai”, perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Hassan berkata penyokong dari blok kerajaan tidak perlu mengemukakan usul undi percaya kerana mereka yakin Anwar mempunyai majoriti untuk terus menjadi perdana menteri.



No comments: