GANGGU AGONG DENGAN ISU JATUHKAN KERAJAAN DI AKHIR TEMPOH PEMERINTAHAN SUATU PERBUATAN BIADAP KEPADA RAJA

 

Semua rakyat Malaysia, bahkan hampir seluruh dunia tahu tempoh pemerintahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang Di-Pertuan Agong akan tamat pada 30 Januari 2024.

Bermula 31 Januari, Agong baru ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan memainkan peranan sebagai ketua negara sehingga 2029.

Pada bulan-bulan terakhir sebelum menamatkan tempoh pemerintahannya, Sultan Abdullah sepatutnya diberikan ruang waktu yang tenang dan menyenangkan, bukan diganggu dengan gegak gempita mahu menjatuhkan kerajaan.

Mengganggu tempoh akhir baginda dengan isu menjatuhkan kerajaan boleh disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan biadap yang tak bertempat.

Kalau ia pun mahu menjatuhkan kerajaan, kenapa tidak dilakukan sebelum ini atau tunggu selepas Agong baru memulakan tugas?

Kenapa perlu tergesa-gesa di akhir pemerintahan Agong sedia ada macam tiada tiada hari esok lagi untuk berbuat demikian?

Lagi pula, jika diteliti, selain tiada asas sokongan untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, blok pembangkang juga tidak memanfaatkan peluang yang tersedia sebelum ini.

Sebaik Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, penegasan pertamanya ialah agar usul percaya di Parlimen dibentangkan terhadapnya.

Tujuan Anwar berbuar demikian tidak lain ialah agar keabsahannya tidak dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak.

Tetapi, ketika usul berkenaan dibentangkan di Parlimen, Anwar terbukti bukan saja mendapat sokongan majoriti, bahkan blok pembangkang langsung tidak berani mengangkat muka.

Tiada undi menentang yang berani dikemukakan oleh blok pembangkang yang bermakna keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi.

Sepatutnya, dengan undi percaya yang lulus penuh itu, ia berkuatkuasa sehinggalah Parlimen dibubarkan dan mengekang sama sekali sebarang usaha menumbangkan kerajaan di tengah jalan.

Jika tidak, apa guna usul undi percaya kiranya sepanjang masa ada saja cerita kerajaan mahu dijatuhkan?

Kemudian, jika pun blok pembangkang masih ada sisa-sisa ghairah yang masih berbaki mahu menjatuhkan kerajaan, mereka patut melakukannya dengan menolak Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Sekali lagi, mereka nampaknya tidak mampu untuk melakukannya.

Dengan itu, mengapa baru sekarang kecoh-kecoh semula dengan cerita mahu menjatuhkan kerajaan?

Dan kenapa mesti menyusah, mengganggu dan menyerabutkan pemikiran Agong yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan dengan isu menjatuhkan kerajaan?

Tidak bolehkah Sultan Abdullah diberikan laluan yang tenang dan damai di akhir-akhir pemerintahan baginda?

Lalu, kalau bukan biadap dan tidak bertanggungjawab, apa lagi gelaran patut kita panggil terhadap mereka yang sanggup berbuat demikian?

Sebab itu, selari dengan tindakan pihak polis yang telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil dua tiga TikTokers yang didapati tak henti-henti mencetuskan kegelisahan dengan memainkan isu menjatuhkan kerajaan, tindakan tegas memang patut diambil terhadap mereka yang berkenaan.

Sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa bertindak lebih tegas dan meminimakan kompromi. – ShahbudinHusin 10/01/2024.