Langkah Dubai: Pembangkang tidak hayati falsafah demokrasi negara




Oleh: Abdullah Zaid



Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyifatkan ‘Langkah Dubai’ yang digerakan pembangkang PN merupakan bukti bahawa gabungan itu tidak memahami falsafah demokrasi negara.



Kata Khalid yang juga mantan Ahli Parlimen Shah Alam, cubaan blok Perikatan Nasional (PN) berterusan melakukan komplot pintu belakang itu hanya memperlihatkan mereka galak berpolitik tetapi tidak berminat membangunkan negara.



"Dalam sistem demokrasi apabila dipilih dan dibentuk kerajaan, maka kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama membangunkan negara dan bukan hanya mencari ruang menjatuhkan kerajaan," katanya sinis dalam dalam siri forum ‘Takde Skrip: Langkah Kelaut’ terbitan Media Perpaduan, malam tadi.



Tambah Khalid, dalam cubaan Langkah Dubai merampas Putrajaya, Pas kelihatan sebagai parti paling terdesak untuk menjadi kerajaan.



Jelasnya, Pas pada ketika ini mempunyai paling ramai Ahli Parlimen dalam blok pembangkang tetapi sanggup menawarkan pihak lain untuk menjadi Perdana Menteri.



Hal itu, katanya, menunjukkan sikap sebenar Pas yang terdesak mahu menjadi kerajaan.



"Dalam soal ini saya nampak Pas paling terdesak. Kerusi MP ramai tapi dia sanggup beri pada pihak lain untuk jadi PM asalkan dia dapat jadi kerajaan.



"Langkah Dubai ini kononnya nak beri GPS jadi PM. (Tapi) Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kata buang masa.



"Langkah pertama ialah kamu (Pas) sokong dia (Abang Jo). Bila dah bentuk kerajaan, bila-bila masa kalau kamu nak tukar, (kamu boleh lakukan) kerana kamu ada jumlah kerusi yang banyak.



"Tetapi inilah kita nampak Pas paling terdesak, nak sangat jadi kerajaan sampai sanggup beri pada sesiapa sahaja jadi PM asalkan Kerajaan Perpaduan dapat dijatuhkan," ujarnya lagi.

 

No comments: