PN TERIMA DANA JUDI, SPRM KINI PERLU SEGERA AMBIL MAKLUMAT DARIPADA ANWAR


Di sebalik tiada kertas siasatan dibuka dan diancam mahu disaman, kemudian ditegaskan oleh Azalina Othman Said bahawa siasatan tidak pernah digugurkan, Anwar Ibrahim nampaknya tidak berganjak daripada penegasan bahawa dakwaannya yang menyebut PN menerima dana syarikat judi ketika kempen PRU15 lalu adalah sesuatu yang berasas.


Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut jika tidak mempunyai sebarang asas mengenainya.


Justeru, beliau meminta Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin membaca kenyataannya dengan lengkap terlebih dahulu sebelum berhasrat mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang.


“Tetapi kalau dia hendak teruskan saman, silakan.


“Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya dengan tegas dan yakin.


Anwar seterusnya berkata, siasatan berhubung isu itu melibatkan pelbagai agensi, maka tindakan hanya akan diambil selepas mempunyai bukti.


Mahiaddin sebelum ini dilaporkan menuntut Anwar serta Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana mendakwa PN menggunakan dana judi pada PRU15 dan akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan seterusnya.


Ia susulan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina di Parlimen yang menyebut, siasatan berhubung dakwaan ada parti komponen PN menerima sumbangan dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas tidak menyebabkan ada kertas siasatan dibuka kerana maklumat mengenainya terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya.


Bagaimanapun, dalam kenyataan media kemudiannya, Azalina berkata, beliau tidak pernah menyatakan siasatan itu sudah dihentikan atau digugurkan, malah menegaskan, SPRM berhak membuka kertas siasatan pada bila-bila masa berdasarkan bukti yang diperolehi daripada semasa ke semasa.


Apa yang nyata di sini, selain kes ini belum digugurkan sebagaimana dinyatakan Azalina, perkara paling penting ialah Anwar sendirinya nampaknya mempunyai bukti mengenai dakwaan PN menerima dana judi itu.


Mengulangi apa yang Anwar sebut – Saya tidak akan keluarkan kenyataan kalau tiada asas.


Jika Anwar sendiri bertegas menyatakan beliau mempunyai asas atau bukti terhadap dakwaannya bahawa PN ada menerima dana judi, bagaimana Azalina dalam jawapannya di Parlimen boleh menyebut? – maklumat mengenai perkara itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya.


Sudahkah SPRM mengambil keterangan atau maklumat daripada Anwar?


Jika belum dan berikutan Anwar dilihat kekal dengan ketegasan “tidak akan bercakap jika tiada asas”, maka SPRM haruslah segera menyelesaikan isu ini dengan seberapa segera.


Temuilah Anwar secepat mungkin dan ambillah maklumat itu daripada beliau.


Rakyat secara umumnya tentu juga tidak sabar untuk mengetahui kebenaran dalam hal ini. – ShahbudinHusin 28/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: