Mengingatkan berkenaan syurga neraka tak berkesan?


Nik Hasyudeen


Di antara komen ke atas berkenaan tulisan saya berkenaan menjaga dana awam semalam ialah mengapa saya asyik menginggatkan berkenaan soal jawab di akhirat dan syurga neraka sahaja sedangkan orang-orang yang menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah memang tak takut akan perkara-perkara berkenaan.


Mungkin kenyataan seperti ini timbul kerana setakat ini negara tidak pernah tidak ditadbir dan diurus oleh orang-orang yang tidak ada di dalam kepercayaan mereka syurga dan neraka. Walaupun orang-orang politik sentiasa mengancam bahawa kita akan kehilangan kuasa, itu hanyalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan dari orang-orang yang tidak melihat kiri kanan dan suka membuat keputusan berdasarkan emosi sahaja. Hanya tuan tanah yang boleh menjual tanah, kan? 


Saya pernah berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti dan tanggungjawab saya di situ adalah menyelia pasaran modal negara. Untuk mempastikan bahawa pasaran modal berjalan dengan adil dan teratur (fair and orderly) di adakan pelbagai jenis undang-undang dengan hukuman-hukuman yang berat ke atas orang-orang yang memanipulasi pasaran, menipu dan juga menyalah gunakan kedudukan.


Semua undang-undang di atas dibentuk dengan tidak mengambil kira syurga neraka. Walaupun ramai juga orang yang didapati bersalah, didenda dan dipenjarakan, itu tidak bermakna tidak ada penipuan, salah laku dan pelanggaran undang-undang di pasaran modal. Ada satu kes yang mana sudah didakwa di mahkamah, namun ditukar pula kepada kompaun sahaja walaupun jenayah yang asalnya didakwa itu berbilion nilainya. Macamana orang nak takut?


Saya senyum apabila ada golongan yang mendakwa mereka bersih kerana setakat ini tidak ramai di antara mereka yang tertangkap dan didakwa di atas kesalahan salah guna kuasa. Kita semua tahu tak tertangkap dan tak terdakwa tidak bermakna tidak ada salah guna kuasa. Lagi pun mereka mungkin berada di dalam kedudukan yang mana tak ada banyak benda yang boleh dicuri kerana mereka tak ada kemampuan untuk diberikan kedudukan yang lebih tinggi dan bermakna.


Berbalik kepada pasaran modal, selain dari undang-undang, Suruhanjaya Sekuriti juga mengeluarkan kod tadbir urus korporat mulai tahun 2000 sebagai panduan kepada pemain pasaran modal agar mewujudkan sistem dan proses untuk membolehkan syarikat-syarikat ditadbir dan diurus dengan baik. Sesudah 23 tahun, kita boleh tanya diri kita sendiri samada kod ini membantu untuk menjadikan semua orang yang ada kedudukan dan kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka seperti yang diharapkan?


Saya tahu ada sebuah institusi (di luar pasaran modal) yang mana ada pelbagai mekanisma untuk membentetas salah guna kuasa. Ada sistem anti-rasuah, ada penempatan pegawai agensi penguatkuasa, namun akhirnya didapati institusi berkenaan kerugian berbilion dan memerlukan pertolongan dari kerajaan.


Berdasarkan realiti seperti yang saya bincangkan di atas dan juga realiti bahawa di negara ini orang-orang yang ada kedudukan, pangkat dan kuasa rata-ratanya sepatutnya mahukan syurga dan takutkan neraka, maka saya banyak memperingatkan orang-orang seperti itu akan hisab Allah SWT dan ancaman neraka jika mereka melakukan kerosakan di muka bumi ini. Setakat ini, orang-orang yang termasuk di dalam golongan ini sentiasa menyebut berkenaan nak menjaga agama di dalam kempen-kempen mereka, kan? 


Jadi, saya merumuskan masih ada harapan untuk menggunakan agama sebagai kaedah untuk memperbaiki kedudukan tadbir urus di negara ini. Melainkan apa yang mereka ucapkan itu sekadar cakap-cakap seperti burung kakak tua mengucap dua kalimah syahadat dan penyokong-penyokong mereka yang mengundi orang-orang sebegini pun dua kali lima sahaja.


Sekiranya Rasulullah SAW boleh membawa tauhid di kalangan masyarakat yang mengamalkan syirik dan akhirnya berjaya membuang kesyirikan itu, mengapa kita tidak boleh mengubah keadaan dengan kaedah yang sama? Yang penting ialah memperkukuhkan aqidah dengan dalil dan kefahaman, bukan sekadar mendengar cakap-cakap yang sedap didengar tetapi tidak mempengaruhi tindakan dan keputusan. Yang bercakap pun ada benda lain yang dikejar.


Inilah respon saya kepada persoalan mengapa yang timbulkan soal syurga neraka di dalam isu tadbir urus, bukannya undang-undang, kod tadbir urus dan lain-lain kaedah.


والله أعلم



No comments: