SEBAB ITU ISTERI JANGAN SUKA MENYIBUK KERJA POLITIK SUAMI


Barangkali didorong rasa cemburu yang bercampur sedikit perasaan sakit hati, seorang isteri bekas menteri kerajaan terdahulu telah menyindir seorang menteri kerajaan semasa sebagai tidak memahami protokal ketika hadir dalam majlis jamuan hari raya di Istana Negara.


Ia berikutan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilihat membawa isteri dan anak-anaknya ke masjid tersebut.


“Wah majlis rasmi bawa anak beranak ke Istana Negara…tak tahu protokol ke pak menteri?” tulis isteri bekas menteri berkenaan.


Agaknya beliau menulis komen sedemikian berdasarkan pengalamannya sebagai isteri bekas menteri sebelum ini semata-mata tanpa menyelidiki fakta serta menyedari dan mengambil kira banyak perkara boleh berubah mengikut peredaran dan kesesuaian semasa.


Isteri bekas menteri berkenaan juga barangkali terlupa bahawa Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah ketua negara yang sangat mesra rakyat dan selalu turun padang mencemar duli menyantuni rakyat di tempat-tempat terbuka sejak dulu lagi.


Ikut logiknya, jika jemputan hanya untuk menteri dan isteri, tentu mustahil seorang menteri itu berani dan pandai-pandai membawa anak sekali ke majlis itu.


Tambahan lagi, ia diadakan di Istana Negara yang sudah tentu terikat dengan protokol dan tempat duduk yang terhad bilangannya.


Apatah pula Nik Nazmi sebelum memegang jawatan menteri, terlebih dahulu ada pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mana soal protokol dan jemputan menghadiri majlis di istana bukan sesuatu yang asing baginya.


Jadi, sebaik tersebar gambar beliau dan keluarganya hadir ke Istana Negara itu, isteri bekas menteri berkenaan sepatutnya tidak harus begitu mudah membuat terjahan kesimpulan secara emosi dan disaluti rasa cemburu dalam hati.


Nik Nazmi kemudian membalas dengan mengatakan jemputan dari Istana Negara memang untuk bawa isteri, anak dan cucu.


“Tapi, saya tiada cucu, jadi bawa anak dan isteri,” balasnya.


Ada di kalangan warga maya kemudiannya memaklumkan bahawa gambar-gambar di laman Facebook Istana Negara secara jelas menunjukkan terdapat juga ramai kanak-kanak lain pada majlis berkenaan, malah kelihatan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong beramah mesra dengan tetamu jemputan serta keluarga mereka.


Laman Facebook Istana Negara turut memaklumkan tentang perkenan kedua-dua baginda mempersilakan tetamu kenamaan, termasuk anggota jemaah menteri, untuk hadir bersama keluarga.


Sebelum ini, isteri bekas menteri berkenaan telah beberapa kali terpalit kontroversi kerana suka menyibuk dalam urusan kerja suaminya, malah pernah tersebar gambar beliau turut hadir dalam mesyuarat.


Pengajaran yang paling mudah di sini lalah di lain kali, isteri menteri atau isteri pemimpin jangan suka menyibuk mencampuri urusan politik sang suami.


Yang masuk politik dan menjadi pemimpin adalah suami, bukan sang isteri.


Biarkan suami saja berpolitik dan berbalas hujah dengan ahli politik lawan jika ada isu tertentu yang muncul.


Isteri elok duduk diam-diam dan jangan sesekali membuka mulut menyerang pihak lawan, terutama di ketika suami sendiri hanya diam tidak berkata apa-apa.


Nah…sekarang, siapa yang malu?


Selain isteri mendapat malu kerana menerjah benda yang tidak betul, suami pun dapat malu sama kerana seolah-olah gagal mengawal isteri sendiri. – ShahbudinHusin 24/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/