DUIT RAYA TAK DAPAT-MAHFUZ INGATKAN SANUSI BAYAR HUTANG.





ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Beliau berkata, sehingga kini Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran telah ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Menurutnya, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan mahu menangguhkan pembayaran tersebut, beliau diminta berhubung dengan peguam bagi meneruskan hasrat itu.

“Muhammad Sanusi perlu bayar segera kerana tempoh diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini ialah 14 hari daripada penghakiman.

“Beliau ketika itu telah minta tangguh sebab mahu buat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tiada pindaan dilakukan kecuali satu saja, iaitu denda daripada RM50,000 kepada RM120,000. Tempoh 14 hari masih kekal daripada tarikh penghakiman,” katanya.

Mahfuz memberitahu, Muhammad Sanusi tidak seharusnya menunggu sehingga perintah mahkamah dikeluarkan kerana keputusan telah pun diputuskan.

“Bermakna sekiranya nak bayar tak perlu tunggu perintah mahkamah dikeluarkan terhadap beliau, terus bayar sahaja. Kecuali mungkin beliau mahu merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, yang itu perlu beritahu kepada peguam saya, tiada masalah.

“Saya akan arah pula peguam saya buat rayuan pencelahan di mahkamah mungkin untuk minta tambah daripada RM120,000 kepada RM240,000,” jelasnya.

No comments: