MASA DEPAN KJ SUDAH MATI DALAM UMNO, JANGAN TANGGUH LAGI SERTAI BERSATU


JIKA BERSATU DIHARAMKAN. KJ MATI BERSAMA TENGGELAMNYA BERSATU DI LAUTAN PASIFIC 


Sebagaimana dilaporkan media, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sah telah ditawarkan oleh Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin untuk bertanding dalam PRN akan datang ini.


Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, tawaran itu dibuat ketika KJ bertandang ke rumah Mahiaddin tidak lama dulu selepas beliau dipecat daripada UMNO.


Katanya, Mahiaddin terbuka untuk menawarkan KJ bertanding atas tiket PN dengan syarat bekas Ketua Pemuda UMNO itu hendaklah mengisi borang keahlian Bersatu terlebih dahulu.


“Soal di negerimana KJ akan diletakkan bertanding, itu bakal ditentukan pucuk pimpinan BN,” ujarnya.


Bagaimanapun, tambah Razali, KJ memaklumkan beliau memerlukan masa untuk memikirkan perkara itu dan sehingga ini masih lagi belum memberikan jawapannya.


Berdasarkan perkembangan ini, terutama kerana KJ yang datang mengunjungi Mahiaddin selepas dipecat daripada UMNO, ia dengan sendirinya menunjukkan beliau berminat terhadap Bersatu dan PN.


Kalau tiada minat itu, sudah tentu KJ tidak datang ke rumah Mahiaddin selepas dia dipecat daripada UMNO.


Dalam hal ini, KJ tidak harus menunggu lebih lama dan bertangguh lagi untuk membuat keputusan mengenai masa depan dirinya.


Menyertai Bersatu dan bertanding atas tiket PN dalam PRN akan datang adalah satu-satunya pilihan untuk KJ dapat kembali dan bernafas semula dalam dunia politik.


Setelah dipecat daripada UMNO dan Zahid Hamidi kini semakin mencengkam dalam UMNO selepas pemilihan parti baru-baru ini, hakikatnya tiada lagi ruang untuk beliau dapat kembali semula bersama UMNO.


Masa depan dan laluannya dalam UMNO sebenarnya sudah mati dan tidak guna lagi beliau meletakkan sebarang harapan kepada parti itu.


Beliau harus melupakan UMNO dan segera mencari wadah baru untuk meneruskan perjuangannya.


Di ketika ini dan berdasarkan kesesuaian perjuangan KJ sendiri, menyertai Bersatu dan PN adalah pilihan terbaik baginya untuk terus bernyawa dalam dunia politik negara ini.


Meskipun ada dua kemungkinan di mana KJ sesuai bertanding – di Negeri Sembilan atau Selangor – tetapi oleh kerana beliau sendiri sudah memindahkan keahlian UMNOnya ke Selangor sebelum dipecat, maka adalah perlu beliau bertanding di negeri tersebut dalam PRN akan datang ini.


KJ perlu meyakinkan Mahiaddin antara keperluan beliau harus diletakkan bertanding di Selangor ialah untuk memberi nilai tambah kepada usaha menawan negeri itu sebagai lonjakan bagi PN menghadapi PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Jika menang di Selangor, gambarannya cerahlah peluang PN dalam PRU akan datang nanti.


Tetapi, jangan meletakkan harapan bertanding di Selangor semata-mata untuk menjadi calon Menteri Besar, sebaliknya menawan negeri itu hendaklah dijadikan sasaran utama.


Berbanding Negeri Sembilan, menang di negeri itu tidak memberi apa-apa lonjakan kepada usaha PN memenangi PRU akan datang.


Untuk itu, KJ mesti bertanding di Selangor dan berpadu tenaga bersama pimpinan Bersatu dan Pas sedia ada untuk menawan negeri itu.


Kepada KJ, jangan bertangguh lagi dan buatlah keputusan segera untuk menyertai Bersatu dan PN dalam waktu terdekat ini.


Masa depannya kini ada di PN, bukan lagi dengan BN, melainkan jika beliau hanya mahu jadi DJ HotFM dalam tempoh lebih lama lagi. - ShahbudinHusin 23/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/


No comments: