BAWA JHO LOW PULANG, INI AKAN JADI KEJAYAAN TERBESAR ANWAR JIKA MENJADI KENYATAAN



Apa? Jho Low akan dibawa pulang ke Malaysia?


Kerajaan dikatakan sedang mengadakan rundingan dengan Beijing untuk mengekstradisi ahli perniagaan dalam buruan yang dianggap dalang utama skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan bersembunyi di negara tersebut.


Menurut penulis bersama buku “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope, perundingan tersebut “hangat diperdebat” susulan kunjungan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke China, bulan lalu.


“Ini sangat besar, mendebarkan dan tanda pengakhiran jalan cerita utama dalam skandal 1MDB – bermula diasaskan pada 2009 sehingga runtuh dalam skandal pada 2015 dan semua kegilaan berparti dan perbelanjaannya sehingga 2023,” katanya dalam laman sesawang yang didedikasikan menjejak ahli perniagaan Pulau Pinang itu yang lebih dikenali sebagai Jho Low.


Hope berkata rundingan itu membabitkan menyerahkan Low kepada Malaysia dan juga membersihkan China daripada tuduhan berpakat dengan ahli perniagaan itu untuk menutup penipuan 1MDB.


Berita selanjutnya boleh dibaca di sini – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/04/20/putrajaya-berunding-ekstradisi-jho-low-dari-china-menurut-laporan/


Jika semua ini menjadi kenyataan, pastinya ini bukan saja menjadi satu berita besar, malah suatu kejayaan terbesar Anwar sebagai Perdana Menteri.


Ertinya, selain berjaya menarik pelaburan berjumlah RM170 bilion dalam kunjungan ke China baru-baru ini, berjaya membawa pulang Jho Low adalah satu lagi tropi kejayaan buat Anwar.


Selepas kejatuhan Najib Razak pada 2018, walaupun ada usaha, cubaan dan cakap berdegar-degar sesetengah pihak dalam salah satu daripada tiga era pentadbiran negara setelah kejatuhan BN – Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob – mahu membawa pulang Jho Low, semuanya tidak pernah menjadi kenyataan.


Dengan itu, cerita yang muncul mengenai skandal 1MDB sentiasa berbeza beza dan tidak dapat dipastikan mana satu versi yang asli.


Bahkan, Najib sendiri mendakwa kerajaan ditipu oleh Jho Low dalam skandal 1MDB itu.


Dalam keadaan cerita yang berbeza itu, yang pasti negara terus menanggung hutang akibat skandal tersebut, meskipun sudah sekian ramai yang dihukum dan dipenjara, selain sejumlah aset dirampas dan wang dikembalikan.


Hanya dengan berjaya membawa Jho Low pulang sajalah semua cerita sebenar akan terungkai kepada kita semua.


Untuk itu, diharapkan spekulasi terbaru yang timbul mengenai rundingan membawa Jho Low pulang adalah cerita benar dan benar-benar akan menjadi kenyataan. – ShahbudinHusin 21/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: