APAKAH PH SUDAH LUPA PRINSIP PERJUANGAN SEMASA JADI PEMBANGKANG DAHULU?



Ketika jadi pembangkang, antara sebab PH menjadi perhatian dan tarikan rakyat ialah kerana asas perjuangannya yang suci untuk menyelamatkan negara ini.


Bersama itu, maka ditekankanlah tentang prinsip tata kelola yang baik, tiada salah guna kuasa, tiada rasuah, tidak mengguna jentera atau wang kerajaan untuk manfaat parti, tiada pembaziran, berjimat cermat dan segala macam yang sejuk telinga mendengarnya, selain laungan reformasi yang tidak henti-henti.


Lebih mengasyikkan apabila setelah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, perkara yang sama turut ditegaskannya berkali-kali yang menggambarkan iltizam tingginya untuk mengota apa yang dikata selama ini.


Sementara kita semua menyaksikan apa yang dikata itu sebahagiannya benar-benar dikota sebagaimana dikata, terutama dalam isu pembanterasan rasuah dalam pentadbiran kerajaan, malangnya hal-hal lain seperti terabai atau dilupakan.


Khusus dalam isu rumah terbuka yang terus panas diperdebatkan yang mana Perdana Menteri sebelum-sebelum ini hanya mengadakannya sekali saja di Seri Perdana, tetapi dengan Anwar mengadakannya di enam negeri yang berbeza, mahu tidak mahu, gambaran yang terpahat di minda rakyat ialah – di mana prinsip perjuangan PH setelah beroleh kuasa sekarang ini?


Tidakkah mengadakan rumah terbuka di enam negeri itu tidak menggambarkan amalan tata kelola yang baik, tiada prinsip berjimat cermat dan terdedah kepada cercaan menggunakan dana serta jentera kerajaan untuk manfaat parti lantaran PRN di enam negeri terbabit akan diadakan tidak lama lagi?


Lebih-lebih lagi apabila membaca kenyataan Saifudddin Nasutioan Ismail selaku Ketua Setiausaha PH semalam yang menolak tohmahan berlakunya pembaziran di sebalik penganjuran enam rumah terbuka itu.


Katanya, berapa duit sangatlah belanja menjamu rakyat dengan lemang, ketupat dan sebagainya bagi rumah terbuka itu.


“Ada makanan (antaranya) lemang, ketupat, sate. Itu menu yang saya sahkan semalam, akan ada (juga) gerai-gerai, ada cendol, ada ais kacang…berapa duit sangat,” katanya lagi.


Apa yang Saifuddin perlu faham, isunya bukan sangat berkaitan ada pembaziran atau tidak.


Mengadakan rumah terbuka di enam tempat yang berbeza berbanding satu di Seri Perdana, sama ada berlaku pembaziran atau tidak, ia adalah sesuatu yang subjektif.


Jika semua makanan habis dan tiada yang terbuang, maka tiadalah pembaziran yang berlaku.


Tetapi, kos mengadakan rumah terbuka di enam tempat sudah tentu lebih mahal berbanding mengadakannya hanya di satu tempat.


Kos ketupat dan lemang saja sudah barang tentu berganda kerana jumlahnya pasti tidak sama jika diadakan di satu tempat saja.


Selain itu, kenaikan kos turut melibatkan makanan, lemang, ketupat dan lain-lainnya, bayaran elaun pegawai, penginapan dan malah penggunaan jet Perdana Menteri juga akan bertambah.


Jadinya, tiadalah amalan jimat cermat dan belanja berhemah dalam hal ini, walhal penekanan berjimat cermat itu kerapkali dilaungkan.


Ditambah lagi kerana enam negeri itu bakal diadakan PRN, bermakna sukar untuk menepis tanggapan bahawa wujud amalan menggunakan wang kerajaan atau duit pembayar cukai untuk manfaat parti.


Sekali lagi akan wujud persoalan, inikah yang dinamakan tata kelola yang baik sebuah kerajaan?


Kenapa dana parti iaitu wang PH sendiri tidak digunakan untuk majlis rumah terbuka itu jika tujuannya untuk mendepani PRN yang bakal tiba?


Apakah PH sudah tidak boleh membezakan antara duit kerajaan untuk kepentingan rakyat, manakala untuk tujuan politik sepatutnya duit parti yang digunakan?


Hanya dengan penganjuran rumah terbuka yang kini menjadi isu, persoalan terbesar dan paling membimbangkan ialah – apakah PH dan Anwar sudah lupa prinsip perjuangan suci yang sering didendangkan untuk menyejukkan telinga rakyat semasa bergelar pembangkang sebelum ini? ShahbudinHusin 26/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: