MY OBSERVATION: SEDIKIT CATATAN TENTANG PAS


Prof Agus


1. Saya dibesarkan dalam keluarga PAS. Sehingga umur dewasa, saya masih menyokong PAS biarpun bukan ahli PAS. Asas ketertarikan saya mudah. PAS memperjuangkan keadilan Islam dan keadilan sosial.


2. Namun, kini PAS sudah berubah total. Perjuangannya penuh dengan retorik agama, dan memperkudakan agama untuk mendapatkan kuasa. Nampak kegelojohan PAS memanipulasikan Islam untuk memburu kekuasaan. Sebarang perbezaan pendapat dengan pandangannya akan diserang secara berjemaah.


3. Serangan tersebut tentunya penuh emosi, tanpa adab dan akhlak. Kita akan diberikan pelbagai gelaran jelek. Karekter kita dicemarkan. Kekuatan mental kita dilumpuhkan. Kita dituduh menolak Islam. 


4. Tidak cukup dengan agama, PAS turut memperjuangkan isu kaum dan bangsa yang dahulunya mereka katakan assabiyah yang perlu ditolak. Pelik sungguh PAS ini, hukumnya berubah cepat. Lebih pelik lagi pengikutnya dan pentaksubnya ada dalam kalangan professional dan cerdik pandai.


5. PAS dahulu dan sekarang banyak berbeza. Dahulu PAS pertahankan kebenaran, kini PAS perlekehkan kebenaran. Saya timbulkan isu air, sampah dan jalan sempit di Kelantan, penyokong PAS nafikan dengan pelbagai cemuhan. Menakjubkan, mereka bahagia dengan kekurangan yang ada asalkan “PAS perjuangkan Islam.”


6. Bagi penyokong PAS, hanya mereka sahaja yang perjuangkan Islam. Bagi saya, ini wajah PAS yang jumud dan keliru.


7. Saya sungguh tidak selesa dengan politik PAS sekarang. Kita tegur dan kritik, dianggap sesat dan jahat. Dahulu PAS lihat rasuah itu jijik, kini PAS lihat rasuah itu derma. Politik PAS tidak ada lagi kasih sayang. Yang ada hanyalah kebencian bagi mereka yang berbeza dengannya. Menyokong PAS mereka janjikan syurga dan menentang PAS mereka ugutkan dengan neraka.


8. Saya fikir politik PAS sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera.


9. Mujurnya, dalam PRU lepas kata-kata “Kito sudah cukop jumloh. Esok angkat sumpoh” tidak menjadi kenyataan. Alhamdulillah.


No comments: