TETAPI DI SINGAPURA HAD UMUR BERSARA ADALAH 65 TAHUN





ZAINUDDIN OMAR

Di Perancis 1 juta rakyat berdemo menolak cadangan Kerajaan untuk naikkkan umur persaraan dari 62 kepada 64.

Kalau sini ramai berusaha agar mereka dapat bekerja sehingga 70 dan tidak mahu bersara.

***************

LEBIH 1 juta rakyat Perancis menyertai protes pada Khamis, menolak cadangan rang undang-undang pembaharuan pencen kerajaan yang akan menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64, menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis.

Bagaimanapun, kesatuan terbesar Perancis, Konfederasi Buruh Am (CGT) memaklumkan kira-kira 3.5 juta orang telah mengambil bahagian dalam demonstrasi di seluruh negara, lapor Xinhua.

Peristiwa Khamis menandakan tindakan mobilisasi umum kesembilan di seluruh negara sejak Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne minggu lalu mengumumkan perlembagaan yang membenarkan kerajaan meluluskan rang undang-undang reformasi pencen.

Bimbang protes bertukar ganas, 12,000 anggota polis ditempatkan di seluruh negara, termasuk 5,000 di Paris.

Walaupun kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman, terdapat beberapa penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan polis, menyebabkan sekurang-kurangnya 123 anggota pasukan keselamatan cedera, kata Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin.

Polis Perancis menggunakan gas pemedih mata dan anjing polis bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Kerajaan terpaksa menutup tempat-tempat bersejarah pada Khamis, termasuk Istana Versailles dan Menara Eiffel susulan protes.

Majlis makan malam yang dijadualkan di Istana Versailles antara Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Raja United Kingdom Charles III semasa lawatan negara akan datang, turut diubah atas sebab keselamatan.

Macron berkata pada Rabu bahawa rancangan pembaharuan pencen kerajaan harus menjadi undang-undang “sebelum akhir tahun”.

Di bawah pelan pembaharuan itu, umur persaraan yang sah akan dinaikkan secara berperingkat daripada 62 kepada 64 menjelang 2030, dan pencen minimum akan diperkenalkan.

Pelan itu turut menetapkan pada 2027, pekerja perlu berkhidmat selama 43 tahun sebelum layak mendapat pencen penuh. – Bernama, 24 Mac 2023.

 

No comments: