Isu Presiden PAS Hadi Awang menyampaikan kuliah di masjid tidak patut timbul kerana ilmu dan kepakarannya diakui ulama antarabangsa, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu juga mendakwa larangan berceramah atau menyampaikan kuliah di masjid dan surau adalah kabur.
“Hadi mengajar seluruh dunia, tiba-tiba balik kampung (Rusila) tak boleh mengajar. Jadi kita kena jelas – yang tidak dibenarkan (ceramah) parti politik atau ceramah politik?” katanya kepada FMT.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu pada 3 Mac lepas melarang ahli politik termasuk wakil rakyat memberikan kuliah atau ceramah agama dan khutbah Jumaat di semua masjid dan surau tanpa tauliah mengajar atau kebenaran.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perikatan gabungan politik besar tanah air berkata pihaknya akur dengan ketetapan itu.
Hadi bertegas bahawa menjadi kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai ‘politik Islam’, dan dilapor terus menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat tujuh hari selepas larangan berkuatkuasa.
Menjawab pertikaian terhadap aktiviti Hadi di masjid, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa beliau sudah lama bergiat di Masjid Rusila, Marang yang dibina oleh keluarganya.
“Tok guru dunia iktiraf ilmu dia dan kepakarannya,” katanya, dan menambah rakyat Terengganu sendiri tidak ada isu dengan aktiviti Hadi. “Lebih 40 tahun dia mengajar situ.”
“Bayangkan arwah Nik Aziz tiba-tiba tak boleh mengajar, kan pelik?” kata Tuan Ibrahim, merujuk kepada bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tuan Ibrahim berkata Hadi seorang ahli politik dan guru agama yang memimpin masyarakat.
“Kalau kita kata orang politik tak boleh beri kuliah di masjid, sedangkan orang politik ini pemimpin.”
Mengulas perbandingan Hadi dengan pemimpin PAS terdahulu seperti Nik Aziz, bekas presiden Fadzil Mohd Noor, dan bekas mursyidul am Haron Din, Tuan Ibrahim mengingatkan tokoh-tokoh tersebut diserang dengan hebat ketika hayat mereka.
“Bila meninggal dunia baru semua nampak baik, kalau hidup nampak tak okay … kena mati dahulu baru orang lihat okay,” katanya, sinis.
Tuan Ibrahim berkata Hadi menonjol berbanding presiden terdahulu kerana berjaya mengemudi parti itu sehingga membentuk kerajaan persekutuan, bersama Bersatu dan Barisan Nasional, pada 2020.
Sumber – https://www.freemalaysiatoday.