WAN SAIFUL, AHLI PERNIAGAAN MESRA BERSATU DIDAKWA DI MAHKAMAH PAGI INI

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mendakwa Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan esok ketika agensi itu sedang menyiasat kewangan parti berkenaan.

Sumber SPRM mengesahkan ahli parlimen Tasek Gelugor itu telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Beberapa sumber Bersatu pula mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Wan Saiful telah pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk membantu siasatan.

Satu sumber berkata dia telah pergi ke pejabat SPRM pada jam 8 malam dan tidak dapat dihubungi sejak itu.

Dijangka turut didakwa bersamanya pagi esok ialah seorang ahli perniagaan, Adam Radlan yang sebelum ini telah ditahan reman beberapa hari untuk proses siasatan oleh SPRM.

Sementara itu, jemputan akhbar daripada SPRM menyatakan dua individu akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur berhubung kes Jana Wibawa pagi esok.

Kedua-dua individu itu tidak dinamakan, seperti amalan biasa dalam jemputan sedemikian.

Penangkapan itu dibuat ketika siasatan terhadap akaun Bersatu dan inisiatif kerajaan semasa era presiden parti Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

SPRM telah pun membekukan akaun bank Bersatu, dan menyoal Muhyiddin pada 16 Feb selama beberapa jam berhubung Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa, atau ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan kemampuan kontraktor Bumiputera untuk membantu mereka menjadi lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, beberapa senarai Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan menerusi projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) adalah melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.

Beliau berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap isu berkaitan tender rundingan terus antaranya projek di bawah Jana Wibawa yang melibatkan projek pembangunan dan infrastruktur.

“Sebanyak 56 projek telah mendapat SST dan keseluruhan projek tersebut bernilai RM6.3 bilion,” katanya menerusi jawapan di Parlimen hari ini kepada pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang bertanyakan berapa banyak projek yang terlibat dalam salah guna kuasa dan apakah nilai projek tersebut.



No comments: