SUDAH SAMPAI MASANYA ANAK BEKERJA DENGAN BAPA DIJADIKAN PERATURAN WAJIB BAGI SEMUA LANTIKAN POLITIK KERAJAAN PERPADUAN

 

Sementara mengesahkan anaknya memang bekerja dengannya, tetapi gajinya tidak dibayar oleh kerajaan, Speaker Parlimen, Johari Abdul dalam masa yang sama dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memohon pelantikan anaknya, Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas secara rasmi di pejabatnya.

Memetik temubualnya dengan Berita Harian, Johari yang dilantik sebagai Speaker Parlimen pada 19 Disember lalu berkata, hingga kini belum ada sebarang pelantikan rasmi dibuat terhadap anaknya itu bagi jawatan tersebut.

Katanya, Mohammed Iqbal yang sudah menjadi pegawai khasnya sejak 14 tahun lalu hanya meneruskan kerja membantu beliau dengan elaun dibayar oleh beliau sendiri.

“Dia meneruskan kerja yang dibuat selama ini yang bukan benda baharu, bukan lantikan rasmi, kerajaan tidak bayar (gaji) saya bayar gajinya,” ujar beliau.

Pada masa sama, Johari berkata, tidak timbul amalan nepotisme kerana proses pelantikan rasmi yang sedang dijalankan itu mengambil kira Mohammed Iqbal yang mempunyai kelayakan dan pengalaman dalam menjalankan tugas terbabit.

Beliau berkata, anaknya sudah berkhidmat sebagai pegawai khasnya sejak 2009 selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kewangan di Multimedia University (MMU) Melaka.

“Nepotisme ini kalau dia kurang, tidak berkelayakan atau dia hanya ada diploma tapi dia diletakkan dalam jawatan yang perlu mempunyai ijazah sarjana muda.

“Atau baharu keluar universiti semalam tapi letakkan dia di jawatan yang memerlukan pengalaman 10 tahun ataupun dia ini tak boleh pakai langsung di mana saya boleh ambil orang lain.

“Tapi anak saya sudah kerja 14 tahun dengan saya dan dia hanya meneruskan kerjanya di mana nak latih orang baharu tidak mudah.

“Diapun tiada kes jenayah dan berkelayakan kerana mempunyai ijazah sarjana muda,” kata Johari lagi.


Berdasarkan interbiu dengan Berita Harian itu, tidak diragui lagi bahawa Johari menampakkan kecenderungan yang tinggi untuk memastikan anaknya dapat bekerja secara rasmi dengannya sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas yang dibayar gajinya oleh kerajaan selepas ini.

Nampaknya selepas anak Perdana Menteri, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Anwar Ibrahim, menjadi suatu trend pula kepada lantikan politik yang lain untuk membawa anak sendiri juga ke pejabat masing-masing.

Walaupun selama lebih 60 tahun BN berkuasa, amalan itu tidak pernah kedengaran berlaku, tetapi kerajaan perpaduan berjenama madani ini terlihat lebih cemerlang lagi dengan membuka ruang amalan tersebut hanya tidak sampai 100 hari beroleh kuasa.

Selepas ini, entah siapalah lagi yang cuba meletakkan anak sendiri juga bekerja dengan mereka.

Yang kesiannya, lantikan anak sendiri itu cuba diwajarkan dengan tidak dibayar gaji, malah dirahsiakan daripada rakyat yang mengundi dan menyokong mereka selama ini.

Kenapa sampai begitu sekali?

Jika anak mereka amat berkelayakan dan mampu menyumbang untuk negara, mengapa mesti dinafikan daripada mendapat upah yang sewajarnya serta dirahsiakan pula perlantikannya?

Bukankah ia sepatutnya diheboh-hebohkan supaya menjadi kebanggaan kepada segala isi dunia?

Dalam hal ini, sesuai dengan agenda reformasi yang menjadi tonggak perjuangan sejak puluhan tahun dulu, adalah penting untuk kerajaan ini menguatkuasakan peraturan baru iaitu semua lantikan politik diwajibkan meletakkan anak sendiri atau ahli keluarga terdekat, sekurang-kurangnya seorang, sebagai pekerja di dalam pejabat mereka.

Lantikan politik itu termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi Agensi Kerajaan dan GLC, Speaker Parlimen serta Dewan Negara dan lain-lainnya.

Dengan adanya peraturan wajib itu, maka tidaklah lagi berlaku perbuatan “mahu tapi malu-malu” iaitu membawa anak sendiri di pejabat masing-masing, tetapi tidak dibayar gaji, dibayar gaji dengan duit poket sendiri, lantikan dilakukan senyap-senyap dan sebagainya.

Malah, dengan adanya anak sendiri bekerja di pejabat ibu bapa mereka jtu, ia dengan sendirinya dapat memastikan ikatan kekeluargaan lebih akrab, selain dapat memantau perilaku antara satu sama lain – anak memantau bapa dan bapa memantau anak sendiri.

Untuk itu, peraturan wajib ini hendaklah dikuatkuasakan dengan seberapa segera yang boleh agar penyokong-penyokong kerajaan perpaduan ini bukan saja dapat berbangga dengan kejayaan menjadi kerajaan, bahkan lebih berbangga lagi kerana anak pemimpin adalah antara yang pertama mendapat rahmat daripada kejayaan menjadi kerajaan itu. – ShahbudinHusin 04/01/2023.



No comments: