Penantian 24 Tahun Terlaksana, Pulihkan Semula Penjawat Awam Tersisih



 

Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif a.k.a Cikgu Syed



SURAT TERBUKA: Nama saya Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif, 49 tahun, sekarang bertugas sebagai seorang guru akademik biasa (G.A.B) Gred 38 KUP di salah sebuah sekolah di Terengganu. Dalam bahasa yang mudah, saya adalah penjawat awam dari kumpulan non-graduate dalam perkhidmatan awam Malaysia.



Saya dilantik menjadi Penyelia Peperiksaan Luar Negara dan Penyelia Kanan UPSR, Sektor Penilaian dan Peperiksaan dengan Gred DG32 Hakiki dan DG34 Hakiki amsing-masing, Jabatan Pendidikan Negeri Terenggganu antara tahun 2014 sehingga 2019. Saya mendapat tawaran mengikuti Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan atau National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) pada Februari 2020 (iaitu sebelum Kerajaan PH tumbang pada Mac 2020) dan telah ditamatkan pengajian tersebut (atas sebab-sebab tertentu yang boleh dipertikaikan) selepas Kerajaan PH tumbang.



Kelayakan NPQEL ini adalah lesen atau tiket untuk seseorang pegawai perkhidmatan Pendidikan dilantik sebagai pengetua atau guru besar. Dan peluang kenaikan pangkat ini telah digelapkan dan tertutup buat seorang anggota parti “pembangkang” seperti saya. Saya mungkin contoh yang terpencil dan dipencilkan.



Majoriti penjawat awam neutral



Semasa saya di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu saya sentiasa dapat melihat dan mendapati bahawa sebahagian besar penjawat awam adalah orang-orang bersifat neutral dan non-partisan. Mereka ini menjalankan tugas dengan sangat cemerlang tanpa memilih “bulu” dan “warna” para pelanggan.



Kebanyakan mereka bersikap profesional ketika menjalankan tugas mereka dan melaksanakan amanah negara dengan penuh tanggungjawab dan berkesan. Namum, terdapat segelintir yang menjadi ketua atau memegang jawatan utama yang mempunyai agenda peribadi dan favour pimpinan politik parti-parti tertentu dan memperjudikan keneutralan status penjawat awam.



Kisah saya ini adalah kisah kecil seorang penjawat awam yang terbiar. Semua ini bermula dengan aura seorang insan yang ingin

membuat perubahan (al-islah) kepada sistem negara yang sedang pincang ketika itu dan saya sangat terkesan dengan idealisma perjuangan beliau.



Insan tersebut bernama Anwar Ibrahim. Saya mengenali beliau secara jauh ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Ketika itu saya masih dibangku sekolah menengah dan aktif dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kuala Terengganu.



Tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan penyertaan saya dalam KEADILAN. Saya bukanlah di kalangan orang terawal menyertai KEADILAN. Saya juga bukan pimpinan besar yang dikenali ramai pengikut. Saya hanya menyertai Parti Keadilan Rakyat atau KEADILAN pada 2008 dengan menghantar borang keahlian kepada seorang pimpinan cabang. Ketika itu parti ini sedang bergelut dengan segala macam halangan dan cabaran untuk tumbuh membesar. Ia bukanlah satu parti yang menjanji apa-apa kedudukan yang baik dan selamat, malah sebagai penjawat awam inilah salah satu organisasi politik yang sangat berisiko untuk disertai ketika itu.



Borang keahlian saya entah di mana silapnya tercicir atau dicicirkan tetapi hanya pada tahun 2015 pendaftaran keahlian saya diterima secara sah dengan nombor ahli T070000927. Terima kasih kepada almarhum Haji Abdul Rahman Yusof (mantan ahli parlimen Kemaman dan ketua cabang Dungun) yang telah membantu menyelesaikan status keahlian saya.



Almarhum Haji Abdul Rahman Yusof jugalah yang membawa saya masuk dan memberi bimbangan awal kepada saya tentang selok belok politik KEADILAN Terenggganu yang penuh rencam dan cabaran. Beliau memberi kepercayaan kepada saya sebagai setiausaha cabang Dungun (SUC) sehingga pemilihan 2018.



Selepas pembentukan Jawatankuasa Cabang Dungun sesi 2018- 2022, Haji Abdul Rahman Yusof telah melantik saya sebagai Naib Ketua Cabang 3. Beliau telah mencadangkan nama saya mewakili Cabang Dungun untuk berada dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu sejak 2015 dan atas persetujuan YB Azan Ismail (ketika itu ADUN Bandar) saya berkhidmat dengan pelbagai jawatan sehinggalah Pemilihan 2022.



Sepanjang 2015 hingga 2022 sebagai ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terenggganu saya telah diberi kepercayaan oleh YB Azan Ismail dengan pelbagai peranan. Pada tahun 2015-2018 saya diberi tugas sebagai timbalan pengarah komunikasi negeri dan pada sesi 2018-2022 saya telah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Negeri PKR Terengganu. Sdr. Azan Ismail telah memberi ruang yang luas kepada saya untuk mengatur dan melaksanakan pelbagai tugasan dan program politik.



Realiti guru KEADILAN di tengah kerajaan BN



Menyertai KEADILAN semasa parti ini menjadi pembangkang bukanlah satu tugas yang mudah dan tindakan yang popular. Tiada siapa pun penjawat awam yang rasional akan menyertai parti pembangkang (ketika itu – 2008) sedangkan kekuatan dan cengkaman UMNO-Barisan Nasional masih kuat dan berpengaruh. Saya dikatakan oleh rakan-rakan guru sebagai memperjudikan masa depan kerjaya perguruan saya dengan menyertai parti pembangkang.



Pengaruh dan cengkaman kerajaan terdahulu sememangnya sangat meluas dan kuat. Pelantikan dan kedudukan pegawai-pegawai utama jabatan kerajaan diatur dan ditapis sebaik mungkin oleh pimpinan mereka. Ini sudah menjadi rahsia umum yang tidak perlu dibuktikan lagi.



Tanpa prejudis, suatu ketika, ramai di kalangan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru-guru besar/pengetua sekolah merupakan ahli atau AJK UMNO dari pelbagai peringkat. Mereka inilah yang bertanggungjawab mengurus dan mengatur perjalanan pengurusan pentadbiran pendidikan di peringkat negeri, daerah dan sekolah. Mereka mengatur pegawai-pegawai, mereka mengatur guru-guru dan mereka juga mengatur sumber-sumber.



Memikirkan cabaran besar yang bakal menanti saya di hadapan sebagai penjawat awam yang ingin berpolitik, saya telah mempersiapkan diri dengan kemahiran menyamar diri untuk bertindak mengikut suasana dan “melawan” secara sederhana di peringkat awal penyertaan. Saya menghadkan keterlibatan saya dalam aktiviti-aktiviti politik secara tertutup sehinggalah saya mendaki tangga kepimpinan yang lebih tinggi dalam parti. Pada tahun 2015 sebaik sahaja saya dilantik sebagai setiausaha cabang Dungun saya mula terlibat dengan politik reformasi secara terang-terangan dan aktif.



Kedatipun terdapat banyak nasihat dan pandangan dari orang orang yang rapat, akrab malah isteri sendiri menyatakan kerisauan dan kecewa dengan keputusan saya untuk terlibat aktif dengan KEADILAN ini, saya tetap juga dengan keputusan yang telah saya ambil. Sebagaimana para anggota KEADILAN dan para penyokong, saya juga sangat ingin melihat Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti dan melaksanakan agenda reformasi yang dibawa beliau.



Dua perkara yang menyebabkan saya benar-benar yakin dan teguh dalam membuat keputusan untuk terlibat aktif dengan parti KEADILAN adalah : Anwar Ibrahim dan perjuangan reformasinya. Anwar Ibrahim adalah seorang figura yang penuh karisma dan istiqamah dalam membela serta mengangkat masalah rakyat terbanyak dan telah diperlakukan secara zalim oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998 yang akhirnya mencetuskan perubahan dalam lanskap politik Malaysia.



Perjuangan reformasi tercetus dan berterusan tanpa henti sejak itu demi mengembalikan maruah rakyat dan membetulkan sistem pemerintah yang korup serta menindas rakyat. Ramai rakyat yang menyertai perjuangan reformasi ini dan ada di kalangan mereka ini merupakan penjawat-penjawat awam yang mempercayai akan idea-idea perjuangan reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim.



Anwar Ibrahim dan perjuangan reformasi. Hanya dengan dua sebab ini sahajalah yang menjadi asas penglibatan saya dalam dunia politik.



Saya percaya dan yakin kepada dua sebab ini dan saya tidak akan membiarkan sejarah memahat catatan tanpa keterlibatan saya. Saya sudah nekad dan bersedia untuk menjadi sebahagian dari perjuangan islah mastata’ ini dan berada di bawah kepimpinan sosok yang ikhlas mengabdikan dirinya kepada rakyat dan negara. Itu keyakinan saya dalam politik.



Kejayaan perjuangan Reformasi



Setelah sekian banyak halangan, dugaan dan cabaran maka dengan kehendak Allah jua presiden Parti Keadilan Rakyat ini akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh (PM10). Pelantikan Anwar Ibrahim adalah satu kejayaan kepada perjuangan reformasi. Ia juga merupakan satu permulaan kepada model pentadbiran reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim sendiri sejak 23 tahun yang lalu.



Alhamdullilah, Anwar Ibrahim kini telah menjadi Perdana Menteri Malaysia dan beliau telah melantik seorang ahli parlimen dari KEADILAN sebagai Menteri Pendidikan. Sebagai seorang pendokong perjuangan reformasi saya sudah tentu berasa bangga dengan pencapaian pemimpin No.1 KEADILAN ini yang bukan sahaja telah berjaya menjadi peneraju pemerintahan negara Malaysia tetapi yang lebih signifikan kepada saya ialah apabila Kementerian Pendidikan, yang mana saya juga turut menjadi sebahagian daripadanya, telah diterajui dan dipimpin oleh oleh seorang “pendokong perjuangan reformasi”.



Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan Malaysia dengan kurang lebih 24 tahun sebagai guru dan pegawai jabatan dan mempunyai sedikit pengalaman dalam politik, saya melihat reformasi pendidikan yang ingin dijayakan sebagaimana kerangka politik reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim akan berhadapan dengan cabaran besar dan halangan yang tidak sedikit.



Keadaan ini sudah tentu sedikit sebanyak secara tidak langsung, suka atau tidak suka, pasti dan akan memperlahan dan menghambat proses reformasi pendidikan kerangka KEADILAN-PH, melainkan sang Menteri berlapang dada dan cekap mengenalpasti “pendokong dan penggerak” agenda reformasi di kalangan para pegawai dan guru-guru yang boleh membantu menteri membuat dan melaksanakan idealisma islah-mastata’ dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerangka reformasi pendidikan yang dibawa KEADILAN-PH.



Dan ini hanya akan berlaku sekiranya sang Menteri ini seorang yang celik “politik jabatan” dan mahir selok belok “politik jabatan”.



Sebagai seorang penggerak politik reformasi yang pernah terlibat di peringkat negeri (MPN) dan nasional (Biro Penerangan Pusat) Parti Keadilan Rakyat, saya sangat percaya Menteri Pendidikan perlukan bantuan dari penggerak-pengerak reformasi yang ada di pusat (KPM) dan di negeri-negeri (JPN, PPD dan sekolah). Ia merupakan satu strategi yang ampuh dalam memperkukuhkan agenda reformasi pendidikan untuk rakyat yang dibawa oleh Anwar Ibrahim dan dalam kerangka fikir idealisme perjuangan Parti Keadilan Rakyat serta PH. Mereka ini perlu dikenalpasti dan diajak bersama.



Kementerian Pendidikan adalah satu kementerian yang besar dengan 10,220 buah sekolah menengah dan rendah, dengan enrolmen murid seramai 4,987,401 dari prasekolah hingga ke sekolah menengah dan 416,743 orang guru sekolah rendah dan menengah, tidak termasuk anggota kumpulan pelaksana (AKP) yang sudah tentu memerlukan penglibatan “pasukan reformasi pendidikan” yang besar dan menyeluruh untuk menjayakannya.



Gunakan nasihat reformis sebaik mungkin



Sekiranya pucuk pimpinan parti KEADILAN lambat menggerak dan menggunakan para penggerak reformasi yang ada di dalam organisasi yang diterajui oleh mereka, maka tidak hairanlah Parti Keadilan Rakyat khususnya bakal berhadapan dengan kehilangan (dari segi semangat dan kekuatan bergerak) anggota-anggota parti yang setia dan telah terbukti mempertaruhkan kerjaya, pangkat dan masa depan demi parti reformasi ini.



Kebanyakan mereka ini bukan berjuang dan mendokong KEADILAN, agenda reformasi dan Anwar Ibrahim untuk pangkat, kedudukan atau projek tetapi memadailah dengan diberi peranan berkhidmat di peringkat masing-masing dan dikembalikan peluang kenaikan pangkat yang telah terhalang dan dinafikan ketika pentadbiran terdahulu. Mereka teraniaya dan “terlindung secara sengaja” kerana “kegilaan” dan penyertaan mereka dalam politik reformasi dan politik mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Realitinya di luar sana, di dunia nyata, ramai yang telah “terkorban” kerana menyertai perjuangan reformasi ini.



Ada di kalangan anggota-anggota KEADILAN yang menjadi penjawat awam dilayan dengan tidak adil dan perkara ini perlu dilihat kembali dan diberi keadilan sewajarnya. Hargailah penggerak-penggerak reformasi ini bersesuaian dengan peringkat mereka dan bukannya membiarkan mereka terkial-kial sendiri menggapai puncak laluan kerjaya dalam pentadbiran yang masih dikuasai oleh aura kerajaan terdahulu.



Semoga pimpinan KEADILAN khususnya dapat mengenalpasti dan mendapatkan maklumat-maklumat tentang mana-mana si marhean penjawat awam yang malang ini. Malah tuan punya badan bolehlah tampil sendiri mengemukakan kes masing-masing dengan pembuktian dan sebagainya. Apa yang penting, pimpinan KEADILAN-PH kena belajar daripada segala kelemahan Kerajaan PH 22 bulan dahulu yang gagal merangkul segala kekuatan akar umbi yang ada, dan membiarkan mereka terkapai-kapai kelemasan. Jangan terlambat.



Sekian. Salam reformasi.



________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Majlis Pimpinan Negeri Terenggganu (2015-2022); Ketua Penerangan Negeri (2018-2022); Timbalan Pengarah Kominikasi Negeri (2015-2018); Ahli Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Terenggganu (2018-2022); Ahli Biro Penerangan Pusat (2018-2022); Naib Ketua Cabang 3 Dungun (2018-2020); Setiausaha Cabang Dungun (2015-2018)