Belum pun sampai tiga bulan jadi pembangkang, PN yang ditunjangi Bersatu dan Pas ternampak begitu galak mencari salah Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.
Macam-macam yang mereka pertikai, termasuk juga perkara-perkara yang tidak masuk akal sama sekali.
Kelakar dan geli hati pun ada melihat gelagat mereka sekarang ini lantaran mereka pernah berada dalam kerajaan selama 33 bulan sebelum ini.
Tetapi, apa yang telah mereka lakukan?
Lupakah mereka akan prestasi buruk PN ketika jadi kerajaan?
Apa kehebatan yang Mahiaddin Md Yasin lakukan selama jadi Perdana Menteri, selain takut membuka Parlimen dan bangga dengan perlaksanaan darurat demi untuk kekal lama berkuasa?
Menteri-menteri Bersatu sendiri, apa peranan mereka yang boleh dibanggakan selama berada dalam kerajaan?
Begitu juga dengan Pas, apa sumbangan dan peranan mereka dalam kerajaan sepanjang 33 bulan itu?
Kenapa baru sekarang sibuk menyalahkan kerajaan, walhal ketika berada dalam kerajaan, mereka sendiri tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat untuk rakyat dan negara?
Mana janji-janji yang pernah dikumandangkan ketika belum jadi kerajaan sebelum ini?
Kenapa hanya setelah tidak lagi jadi kerajaan, baru hendak bising itu dan ini?
Apa yang PN lakukan sekarang, setelah berada di kedudukan sebagai pembangkang, tidak lain hanyalah untuk membuktikan mereka masih relevan untuk mentadbir semula negara ini.
Dalam hal ini, rakyat dan pengundi jangan lupa, PN sudah pun diberi peluang menjadi kerajaan selama 33 bulan, walaupun hanya melalui tebuk atap.
Hakikatnya, melalui peluang tersebut, PN telah terbukti gagal mentadbir negara di mana Mahiaddin sehingga ini kekal dalam rekod sebagai Perdana Menteri yang mempunyai prestasi paling buruk sekali sejak negara merdeka.
Apakah kita mahu sejarah buruk berulang kembali dengan Mahiaddin sekali lagi memegang jawatan Perdana Menteri?
Mahukah juga kita melihat muncul kembali duta yang hanya makan gaji buta?
Oleh itu, rakyat jangan sesekali terpedaya dengan mainan dan silap mata PN ini.
Mereka tidak sesuai dan tidak layak sama sekali jadi kerajaan, tempoh 33 bulan sebelum ini telah membuktikan hakikat itu.
Berbanding kerajaan perpaduan yang belum berusia 100 hari ini, rakyat sendiri mula nampak perubahan dan arah tujunya.
Contohnya, usaha Anwar memerangi rasuah dan mengelakkan ketirisan dengan Bersatu sendiri terpalit dalam siasatan dan pembekuan akaun bank, ia adalah bukti ada kedurjanaan telah berlaku ketika PN menjadi kerajaan.
Selepas ini dipercayai lebih banyak lagi pembongkaran akan didedahkan.
Biarkan PN terus bising kerana mereka memang hanya layak dan benar-benar berfungsi ketika jadi pembangkang saja.
Ketika jadi kerajaan, mereka diam dan langsung tak berbuat apa-apa, tetapi mula bising bila jadi pembangkang.
Biarlah politik negara ini meriah dan Parlimen jadi macam zoo dengan PN terus kekal jadi pembangkang buat selama-lamanya.
Malapetaka 33 bulan tak usah dijemput menjelma semula. – ShahbudinHusin 16/02/2023.