Rakyat ada imuniti terhadap Covid varian BA.5.2 dan BF.7
Rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bimbang mengenai keputusan kerajaan mengekalkan pembukaan sempadan Malaysia di tengah-tengah kebimbangan berhubung lonjakan kes Covid-19 di China.
Nasihat itu diutarakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, sambil menegaskan beberapa varian yang dilapor dikesan di China sebenarnya sudah berada di dalam Malaysia dalam beberapa jangka waktu, dan keputusan membuka atau menutup pintu sempadan kepada pelancong dari mana-mana negara tidak memberi kesan besar kepada penularan wabak itu.
“Dalam isu ini ada beberapa perkara yang perlu ditangani, sama ada kita patut bimbang dengan varian itu dan yang kedua sama ada kita perlu bersedia?
“Jika kita lihat apa yang berlaku di luar negara atau di Malaysia, kebanyakan perintah sekatan telah ditamatkan.
“Di Malaysia, sejak lebih 9 bulan lalu tidak berlaku jangkitan serius yang ketara. Rakyat Malaysia telah terdedah kepada Covid-19 dan ramai terima vaksin. Kedua-dua ini menyumbang kepada perlindungan imuniti dalam masyarakat.
“Sama ada (varian) Omicron ini akan menjejaskan orang awam secara serius, saya rasa tidak,” katanya dalam satu bual bicara kendalian portal berita SumberKini.
Di sebalik pandangan agar rakyat tidak terlalu bimbang dengan keputusan kerajaan terus membuka pintu sempadan, Dr Lee menganjurkan orang ramai untuk terus mengambil langkah pencegahan seperti ditetapkan sebelum ini, selain menggesa pengambilan vaksin penggalak terhadap wabak tersebut.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, Varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China sebenarnya telah dikesan telah lama berada di Malaysia.
Setakat 31 Dis 2022, terdapat 4,148 kes jangkitan BA.5.2 dan tiga kes BF.7 di negara ini, tiada data untuk mengaitkan kes serius atau kematian kepada kedua-dua subvarian berkenaan.
Kabinet yang bermesyuarat pada Rabu pula memutuskan tiada sebarang larangan atau sekatan dikenakan terhadap pelancong China ke negara ini.
Sementara itu dalam bual bicara yang sama, Pakar kesihatan Awam Dr Farhan Rusli menegaskan tidak timbul persoalan apakah kerajaan telah membuat keputusan yang betul atau tidak berhubung isu sama ada perlu terus membuka atau menutup pintu sempadan kepada mana-mana pelancong dari negara tertentu.
Ini jelasnya kerana rakyat mempunyai tanggungjawab sendiri melindungi diri dari dijangkiti Covid-19, selain dari hanya bergantung kepada langkah-langkah yang diambil kerajaan.
“Saya setuju dengan Dr Lee bahawa kita tak perlu takut kepada Covid-19, kita dah tahu bagaimana penularannya. Kalau nak melaksana sesuatu itu mesti berasaskan sains dan data.
“Asas pertama adalah untuk mengelakkan diri kita daripada terkena Covid dengan mendapatkan vaksin dan kemudian mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dengan betul dan menjaga penjarakan fizikal.
“Keutamaan yang harus diberikan bukan hanya melihat kepada apa yang kerajaan lakukan betul atau tidak, sebaliknya diri kita sendiri. Kita yang sebenarnya melindungi diri kita dahulu dan barulah selepas itu kerajaan melaksana pemantauan dalam skala besar,” kata Ahli Majlis kesihatan Negeri Selangor itu.