BILA NAK KRITIK ANWAR?

 

Ketika pulang ke kampung menghadiri kenduri sempena cuti awal tahun baru-baru ini, saya telah dilontarkan satu soalan oleh beberapa saudara-mara yang membuatkan saya masih teringat-ingat mengenainya sehingga sekarang.

Saudara-mara saya yang majoritinya penyokong Pas itu menyoal – bila lagi saya nak menulis mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim?

Kata mereka, sebelum ini semua Perdana Menteri saya tegur, kritik dan hentam, takkan Anwar terlepas pula daripada kritikan saya?

Di selang waktu yang tidak jauh berbeza sebelumnya, ramai juga kenalan dan mereka yang selama ini mengikuti tulisan saya mulai melontarkan soalan yang sama.

Kata mereka, dengan banyak isu yang yang tidak memihak kepada rakyat yang muncul sejak kebelakangan ini, berdiam diri bukanlah pilihan yang baik buat saya sebagai seorang penulis.

Ada pula rakan-rakan penulis senior tidak terkecuali mahu saya mula menegur, mengkritik, malah menghentam kerajaan baru ini, termasuk jika perlu Anwar sendiri jika didapati melakukan sesuatu yang tidak wajar dari segi kepentingan rakyat.

Hujah mereka, mengkritik dan menegur bukan bererti tidak lagi menyokong, tetapi lebih bertujuan untuk memperbaiki dan agar kesilapan yang lama tidak diulangi, walaupun pemimpin itu diusahakan sebelum ini untuk dinaikkan.

Mereka juga mengingatkan bagaimana teguran, kritikan dan hentaman saya terhadap Perdana Menteri, bermula dengan Najib Razak, Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob sejak 2011 lalu.

“Takkan nak berhenti mengkritik bila Anwar sudah jadi Perdana Menteri,” ujar mereka dengan nada sedikit menghasut.

Sebagai penulis, memang menegur dan mengkritik, apa lagi jika yang ditegur dan dikritik itu seorang Perdana Menteri, ia sebenarnya amat-amat memberi kepuasan.

Tambah memberi kepuasan, mungkin juga hanya kebetulan, semua Perdana Menteri yang saya kritik dan hentam itu pula jatuh akhirnya daripada jawatan mereka.

Menyokong pemimpin amat memberi kepuasan ketika mereka di luar kerajaan dan sehingga beroleh kuasa, tetapi setelah beroleh kuasa, sokongan yang dilakukan lebih mudah ditafsir dengan gambaran kurang enak iaitu mengampu dan membodek untuk tujuan mengharap sesuatu imbuhan.

Sebab itu, saya sebolehnya cuba mengelak untuk keterlaluan dalam menyokong dan mengangkat Anwar dalam keadaan dirinya sudah jadi Perdana Menteri sekarang ini, walaupun sebelum ini saya memang berusaha melalui penulisan dan terbitan buku-buku untuk melihat beliau akhirnya berjaya menerajui negara ini.

Mana kerja baik yang dilakukannya memang patut disokong agar diketahui rakyat bahawa beliau sentiasa berusaha melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin demi rakyat.

Tetapi, sudah tentu setelah menjadi kerajaan, apa yang rakyat mahukan ialah hasil atau nikmat yang boleh mereka rasai melalui kuasa dan jawatannya itu kerana itulah akan memastikan sokongan berkekalan.

Kemeriahan di sambut ketika bersolat Jumaat dan makan di medan selera misalnya, tidak akan kekal lama jika berbulan-bulan selepas ini harga ayam masih mahal, telur kekal tiada dan harga barang tidak turun dengan sewajarnya.

Dalam hal ini, Anwar jangan lupa beliau pernah berkata, banyak janji PRU14 lalu tidak dapat ditunaikan kerana beliau ketika itu bukan Perdana Menteri.

Namun, selepas PRU15 ini, tiada alasan lagi untuk hujah demikian kerana selain menjadi Perdana Menteri, beliau juga adalah Menteri Kewangan yang bermakna kuasa “kun faya kun” itu lebih besar ada dalam tangannya demi kepentingan rakyat yang menaruh harapan tinggi kepadanya.

Selepas tempoh 100 hari, Anwar dan kerajaan baru ini tiada pilihan lain melainkan harus berusaha sebaik mungkin menunaikan apa yang pernah diungkapkannya ketika berkempen dahulu.

Video-video janji ketika berkempen sebelum jadi kerajaan sebelum ini hendaklah ditonton semula dan jangan sampai rakyat sendiri memuat-naiknya semula serta membandingkan dengan apa yang dilakukan setelah berjaya menjadi kerajaan.

Di waktu ini, selain beberapa kelemahan ketara muncul berkaitan kerajaan ini, saya juga turut menerima banyak rungutan serta keluhan pelbagai pihak.

Ia bukan saja melibatkan menteri-menteri tertentu, malah juga berkaitan Perdana Menteri sendiri.

Saya percaya, daripada semasa ke semasa, luahan dan keluhan tidak puas hati itu akan terus saya terima, sudah tentu tujuannya untuk saya tulis dan dedahkan melalui tulisan saya.

Bagaimanapun, sebagai kerajaan baru, perlu difahami mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memahami tugas dalam kerajaan sebelum benar-benar dapat melaksanakan apa yang pernah diungkapkan.

Tetapi, jika mereka dalam kerajaan sendiri tidak berubah, tidak sedia untuk berubah dan tidak mengambil iktibar daripada keseronokan pertama kali jadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini – mampukah saya terus mengelak daripada menegur dan mengkritik, bahkan menghentam kerajaan ini? – ShahbudinHusin 08/01/2023.



No comments: