MENJADIKAN PAS SEBAGAI PERSAMAAN DALAM LANTIKAN NURUL IZZAH BERERTI MENYAMAKAN ANWAR DENGAN PAS



Dalam cubaan untuk mempertahankan lantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terdapat segelintir pihak yang menyokong kerajaan perpaduan nampaknya cenderung menjadikan Pas sebagai rujukan serta persamaan dalam amalan tersebut.


Mereka memetik pelbagai laporan berita yang mengaitkan tindakan pemimpin-pemimpin Pas sendiri pernah melantik anak masing-masing dalam jawatan kerajaan.


Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan telah membenarkan anak mereka sendiri bekerja dalam agensi penting negeri Kelantan iaitu di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai pegawai kanan.


Anak Menteri Besar, Nor Azma Hilmah Ahmad dikatakan bertugas sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perundangan dan Intergriti di PKINK.


Dalam kes ini, Ahmad adalah Pengerusi PKINK.


Anak Timbalan Menteri Besar Kelantan pula, Ahmad Mujahid Mohd Amar dilaporkan bertugas sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perancangan Korporat PKINK.


Mohd Amar dalam kes ini adalah Ahli Lembaga Pengarah PKINK.


Selain anak dua pemimpin Pas itu, anak Speaker DUN Kelantan, Ustaz Abdullah Yaakub juga diberitakan bekerja di bawah sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kelantan.


Anak beliau, Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah dilaporkan tersenarai dalam Pengurusan Tertinggi PTG Kelantan dengan jawatan sebagai Penolong Pengarah Hasil.


Dengan tiga anak pemimpin Pas itu turut bekerja di syarikat kerajaan negeri di mana bapa mereka adalah pemimpin dalam pentadbiran negeri Kelantan, lalu dihujahkan bahawa di mana salahnya anak Anwar bekerja di Pejabat Perdana Menteri?


Tambahan lagi, kata mereka, jawatan Nurul Izzah adalah pro bono iaitu tanpa gaji, sedangkan ketiga-tiga anak pemimpin Pas itu adalah bergaji.


Bukan bermaksud untuk membela Pas, tetapi sekadar untuk membetulkan fakta – membuat persamaan sebegitu sebenarnya adalah tindakan yang salah.


Pertama, ketiga-tiga anak pemimpin Pas berkenaan hanya bekerja di agensi kerajaan negeri dan bukan sebagai penasihat kepada bapa mereka.


Di sini saja, tindakan menyamakan itu adalah tersasar jauh dan suatu tembakan yang tak kena.


Kedua, kalau tindakan pemimpin Pas itu ingin dijadikan rujukan dan persamaan, bermakna kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar ini adalah sama perangainya seperti Pas.


Banggakah kita kerana dilihat sama seperti Pas dan sejak bila Pas menjadi kitab rujukan kita? – ShahbudinHusin 31/01/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/01/31/menjadikan-pas-sebagai-persamaan-dalam-lantikan-nurul-izzah-bererti-menyamakan-anwar-seperti-pas.html



No comments: