ORANG UTARA KATA BERAMBUS- BAHASA KASAR LA..TAPI MAKNA SAMA...LARI BAWA DIRI.

 

Mungkin saya kembali sambung amalan guaman, kata Azhar



Azhar Harun menafikan beliau pernah menjadi ‘aktivis’ sebelum PRU14,
 sambil menyatakan dirinya sebagai ‘individu yang mempunyai
 pandangan terhadap isu tertentu’.

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun merancang kembali menyambung amalan guaman selepas beliau meletakkan jawatannya, pada sidang Parlimen pertama selama dua hari, bermula 19 Dis, susulan pembentukan kerajaan perpaduan.

Difahamkan, beliau menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk kembali menamakannya sebagai calon speaker. Menurut sumber, gabungan itu kini menamakan bekas menteri dalam negeri, Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Ketika dihubungi, Azhar enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin bahawa beliau menolak tawaran PN itu bagi pemilihan jawatan terbabit.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keinginan kembali meneruskan amalan guaman selepas tempoh rasminya sebagai speaker berakhir.

“Saya selalu menyatakan sekiranya majoriti tidak mahukan saya lagi, saya akan pergi diam-diam dan itulah yang akan saya lakukan. Saya mahu kembali menyambung amalan guaman,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau meninggalkan kerjaya itu, pada September 2018, selepas dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika era pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi SPR dan dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat, pada Julai 2020, empat bulan selepas keruntuhan kerajaan PH, susulan Langkah Sheraton.

Ditanya sama ada beliau kembali menjadi “aktivis”, Azhar berkata, beliau tidak pernah menjadi aktivis mahupun memperagakan dirinya seperti itu.

“Saya hanya seorang individu yang mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu. Kadang-kadang kebetulan orang lain bersetuu dengan pandangan saya dan ada beberapa parti politik juga berkongsi pendapat sama. Namun, ia bukan menjadikan saya seorang aktivis atau menjajarkan diri dengan parti politik tertentu.

“Bagaimanapun, saya bukan katakan tidak lagi akan terus (menyatakan pandangan) sebab saya impulsif dalam hal itu. Bila perkara berlaku dan mungkin saya hanya mahu menyuarakan apa yang saya fikirkan.

“Benda seperti ini bukannya dirancang. Saya mungkin ada kes yang mempunyai kepentingan awam dan saya akan suarakan,” katanya.

Sebelum ini, ramai sudah menyaksikan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat bersikap di luar kawalan ketika beliau menjadi mempengerusikan sidang dengan ada yang berani menentang apabila diarah duduk atau diminta keluar dewan.

Azhar berkata, proses memilih speaker akan menjadi usul pertama dibentangkan sekiranya ada pertandingan, jika tiada setiausaha akan mengumumkan pengganti disusuli upacara angkat sumpah.

Antara nama yang dispekulasikan mengisi jawatan itu melibatkan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, Johari Abdul, yang dikatakan menjadi calon utama PH.

Menurut sumber, PH juga dijangka mencalonkan Ahli Parlimen DAP dari Lanang, Alice Lau, sebagai timbalan speaker, manakala BN mencadangkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor, kekal sebagai timbalan speaker.

No comments: