KENAPA NAJIB SEBAGAI MENTERI KEWANGAN SETUJU DENGAN KONTRAK LCS YANG BERAT SEBELAH?

 

Najib Razak digesa untuk menjelaskan mengapa dia, sebagai menteri kewangan sewaktu pentadbiran BN memberi layanan “berat sebelah” kepada kontraktor utama projek kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). 

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching berkata caj penghantaran lewat bagi setiap LCS dihadkan kepada RM180 juta.

Teo berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan bahawa kerajaan persekutuan berhak menuntut ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) sebanyak RM116.54 juta menjelang 31 Dis 2019 kerana penghantaran LCS pertama sudah lewat 245 hari.

Berdasarkan anggaran kiraan jumlah tersebut sehingga 31 Julai tahun ini, Teo menyatakan LAD itu boleh mencecah RM582.12 juta.

“Penghantaran LCS2, LCS3 dan LCS4 juga lewat. Pengiraan mudah akan menunjukkan bahawa menjelang Julai 2022, jumlah LAD mengikut hari untuk LCS1 hingga LCS4 sepatutnya RM1.57 bilion, tetapi jumlah LAD yang boleh dituntut oleh kerajaan hanya RM671 juta, disebabkan oleh had RM180 juta LAD bagi setiap kapal.

“Apakah rasionalnya untuk masukkan had RM180 juta dalam kontrak, yang hanya menguntungkan BNS dan meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang sangat merugikan?” soal ahli parlimen Kulai itu.

Teo juga menggesa Najib menjelaskan mengapa dia tidak mengendahkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (No. 5 Tahun 2007) (Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007) yang menyatakan bahawa maksimum 25 peratus daripada jumlah kontrak atau RM10 juta, mengikut mana yang lebih rendah, boleh dibayar sebagai bayaran awal dalam mana-mana kontrak.

“Bagaimanapun, RM1.36 bilion telah dibayar oleh kerajaan kepada BNS sebagai bayaran awal, jauh melebihi had yang dibenarkan di bawah garis panduan kewangan MOF, menyebabkan Surat Setuju Terima dipinda dua kali.

“Lebih penting lagi, pembayaran sedemikian hanya boleh dibuat dengan kelulusan kementerian kewangan. Bolehkah Najib, sebagai menteri kewangan ketika itu, tolong jelaskan kepada kami, apa menyebabkan kelulusan itu dibenarkan?” soalnya lagi.

Pada 4 Ogos lalu, Pengerusi PAC Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan jawatankuasa itu, yang meneliti pengendalian projek LCS.

Laporan itu mendedahkan walaupun tiada satu pun kapal yang siap, Putrajaya sudah membayar RM6 bilion.

Projek itu telah diluluskan pada 2011. Ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi merupakan menteri pertahanan manakala Najib pula sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Selepas laporan itu dikeluarkan, Najib menyalahkan kerajaan PH sebelum ini kerana membekukan projek itu pada akhir 2019.



No comments: