Cabar kerajaan nyahklasifikasikan 3 dokumen projek LCS
Kerajaan BN – PN dicabar untuk nyahklasifikasikan 3 dokumen penting dalam Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dibentuk oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 3 tahun lalu.
Hal itu dibangkitkan oleh mantan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Menurut mereka, rakyat berhak tahu hal sebenar yang telah pun dikenalpasti puncanya mengakibatkan tergendalanya pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diperdebatkan sekarang.
“Kami menyeru Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan membuat keputusan dalam mesyuarat kabinet pada hari Rabu ini untuk menyahklasifikasikan dokumen-dokumen penting supaya seluruh rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal LCS, dan kita dapat bersama mencari jalan penyelesaian.
“Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini, banyak persoalan akan kekal tidak terjawab,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Menurut mereka lagi, nyahklasifikasi dokumen itu juga disyorkan oleh Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan skandal pembinaan LCS pada 4 Ogos lalu.
Tegas Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong, “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia” diterbitkan JKSTUPKK dan dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang amat perlu diketahui rakyat yang masih kebingungan mengenai hala tuju pembinaan kapal berkenaan, yang sepatutnya 4 LCS telah siap dan diserahkan sebelum 2022.
“Laporan (JKSTUPKK) ini mempunyai maklumat kewangan yang tidak termasuk dalam laporan PAC.
“Dokumen kedua yang perlu dinyahklasifikasikan adalah laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead Naval Shipyard (BNS). Pengauditan ini dilaksanakan oleh firma audit Alliance IFA.
“Laporan pengauditan forensik amat penting kerana mempunyai butiran tentang pihak yang bertanggungjawab di peringkat operasi projek.
“Ketiga, nyahklasifikasikan 10 pucuk surat yang ditulis oleh mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Aziz Jaafar yang memegang jawatan tersebut dari 1 April 2008 hingga 17 November 2015,” kata mereka.
Selain itu, kedua dua mereka turut memetik isi kandungan surat Laksamana Dr Abdul Aziz yang menyatakan, “Kerana daripada awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan. Daripada awal lagi. Saya telah menegur tatacara perolehan, saya kata, “Something is gravely wrong”. So, saya tidak mengeluarkan kenyataan kenyataan ini di luar tapi ini adalah peluang terbaik saya untuk memaklumkan bahawa I have registered my greatest disappointment to everyone that was supposed to be listening to me.”
“Despite all the letters, despite seeing personal presentation to all those sama ada KSU, Yang Berhormat Menteri, KSN, KSP dan juga Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, we were fighting a losing battle.” (PAC Report, Point 5.1.1 C iii, pages 19-21)
“Kami amat kecewa melihat teguran dan amaran beliau (laksamana) tidak dilayan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Untuk mendapatkan jalan keluar bagi skandal LCS yang melibatkan berbilion ringgit (wang rakyat), kabinet Malaysia perlu segera nyahklasifikasikan dokumen-dokumen ini,” kata kenyataan itu lagi.