TERUSKAN SANGGAH NAJIB, SEJARAH TELAH MEMBUKTIKAN BELIAU ADALAH PENAKUT

 

Dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Rafizi Ramli menekankan laporan polis yang dibuat terhadap Najib Razak bukan saja untuk menyanggah pembohongan, propaganda palsu dan mainan sentimen perkauman yang dimainkannya, bahkan juga kerana menganggap bekas Perdana Menteri itu seorang yang penakut.

“Kita kena sanggah, tak boleh biarkan dia bermaharajalela, tak boleh biarkan Najib syok racun rakyat.

“Mulai hari ini semua kita bila balik, kita terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara.

“Hari Selasa nanti kita buat laporan polis secara besar-besaran, tak boleh biarkan dia main isu perkauman.

“Selepas ini kalau Najib berbohong kita buat laporan polis demi laporan polis…sebab saya tahu Najib penakut.

“Dia sembang kencang selama ini kerana tidak ada orang sanggah dia,” tegas Timbalan Presiden PKR itu lagi.

Benarkah Najib seorang yang penakut?

Seseorang itu, kalau dia seorang yang berani, dia pasti lebih berani apabila sedang berkuasa.

Malah, dengan adanya kuasa juga, seorang yang penakut pun mampu bertukar menjadi berani.

Lebih-lebih jika kuasa yang dimiliki itu ialah sebagai Perdana Menteri yang kekuasaannya tanpa sempadan dan mampu menundukkan ramai orang.

Tetapi, adakah Najib seorang yang berani ketika memegang jawatan Perdana Menteri?

Dengan kekuasaan dalam tangan sebagai Perdana Menteri ketika itu, tanpa keraguan, Najib boleh dianggap seorang yang amat penakut dan langsung tidak berani.

Beliau hanya sembang kencang ketika berucap secara sehala, tetapi tidak pernah berani untuk berdebat, waima berdialog sekali pun.

Di dalam Parlimen, semua isu berkaitan 1MDB dilarang sama sekali untuk dibincangkan kerana beliau takut untuk berhujah.

Semua sidang akhbar beliau hanya dihadkan kehadiran kepada media pembodek saja, manakala media yang kritikal dilarang terus untuk menghadirinya lantaran takut dengan soalan wartawan.

Dinding FB beliau langsung tidak berfungsi, kecuali menyiarkan berita dan gambar program-program yang dihadirinya saja.

Kenapa demikian?

Sebab utama, khususnya berkaitan skandal 1MDB, ialah kerana tingkah laku beliau ketika itu diasak dan disanggah oleh segenap lapisan rakyat daripada pelbagai penjuru.

Apa saja kenyataan, ucapan, idea dan cadangannya disanggah sebagai tidak relevan, malah asakan rakyat di media sosial berkaitan 1MDB hampir membuatnya terhimpit ke dinding.

Dengan sanggahan sedemikian rupa, walau ada kuasa sebagai Perdana Menteri dan dikelilingi puluhan penasihat serta pegawai di PMO, beliau akhirnya jadi penakut dan kecut.

Setelah UMNO hilang kuasa dan Najib dijatuhkan yang diikuti pelbagai pergolakan politik muncul kemudiannya, tumpuan kepada beliau beransur-ansur berkurangan, meski di ketika yang sama rakyat tidak lupa tentang barang kemas, beg tangan, wang tunai dan pelbagai perhiasan yang dirampas daripada kediamannya, selain kes mahkamahnya yang masih bertali-arus.

Dalam keadaan kurangnya tumpuan dan sanggahan itulah Najib mengambil kesempatan mempopularkan dirinya melalui slogan dan kempen Malu Apa Bossku, di samping lebih kerap turun bersosial bersama rakyat di kawasan tumpuan ramai dan memperlihatkan seolah-olah dirinya teraniaya.

Pokoknya Najib jadi popular melalui sembang kencangnya selaku “Perdana Menteri FB” sejak hilang kuasa tidak lain adalah kerana sanggahan rakyat terhadapnya tidak lagi sekuat ketika beliau berkuasa kuasa.

Kini, dengan tanpa kuasa dan bakal ke penjara, Najib sebenarnya bukanlah sudah bertukar menjadi berani.

Kalau ketika ada kuasa pun beliau penakut, tidak mungkin setelah tiada kuasa seperti sekarang, dirinya tiba-tiba jadi berani.

Beliau tampak berani dan macam serba tahu dengan pelbagai cadangan serta idea, walau terbukti di mahkamah dianya seorang yang serba tidak tahu, adalah semata-mata kerana tiada sanggahan sekuat dulu terhadapnya.

Walaupun kini beliau berani menyahut cabaran berdebat dengan Anwar Ibrahim, ia tidaklah membuktikan beliau benar-benar berani.

Ini kerana, Najib meletakkan pelbagai syarat dalam dalam debat tersebut, sementara Anwar langsung tidak meletakkan apa-apa syarat.

Pemimpin PH, kecuali beberapa orang tertentu saja, terutama selepas tidak lagi menjadi kerajaan, hampir tidak lagi menyanggah apa yang dilakukan Najib.

Hanya kini, setelah Rafizi kembali dan menjadi orang nombor dua dalam PKR, ternampak arus sanggahan terhadap Najib itu dilihat berpotensi bertukar daripada riak-riak kecil pada mulanya kepada ombak yang kian membesar.

Rata-rata netizen di media sosial memberi respon yang positif terhadap usaha Rafizi dalam menyanggah Najib itu dan beberapa isu yang beliau bangkitkan sejak kebelakangan ini seolah-olah kejutan kepada rakyat daripada lena yang panjang.

Percayalah, Rafizi dengan usahanya melakukan sanggahan terhadap Najib dalam pelbagai isu, bahkan laporan polis besar-besaran berkaitan waris Sulu juga sudah dilakukan, tidak mustahil ombak akan bertukar menjadi gelombang dalam beberapa bulan akan datang.

Dan percayalah juga, jika sanggahan ketika berkuasa pun mampu menjadikan beliau kecut dan penakut, sanggahan ketika laluan ke penjara semakin terbuka ini pasti lebih mudah lagi membuatkannya dibelenggu oleh rasa takut semula.

Dalam hal ini, tidak dinafikan ada benarnya apabila Rafizi kata Najib sebenarnya seorang yang penakut.

Yang penting, jangan berhenti menyanggah Najib dan semua pembohongan, propaganda palsu serta autanya mesti cepat-cepat disanggah. – ShahbudinHusin 22/07/2022.



No comments: