BAKI KOMITMEN HUTANG 1MDB RM32.08 BILION, ‘JASA’ NAJIB YANG TIDAK HARUS DILUPAI

 

Jumlah baki komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah RM32.08 bilion setakat 30 Jun 2022 dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi tempoh April 2017 hingga Mei 2022, kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan sebanyak RM10.85 bilion melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB berikutan masalah kewangan dihadapi 1MDB sebelum ini. 

“Selain daripada bantuan kewangan langsung kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang disimpan dalam satu Akaun Amanah di bawah MOF yang dikenali sebagai Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset,” katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata setakat 30 Jun 2022, jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya diperoleh semula adalah sebanyak RM19.28 bilion daripada beberapa mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan dolar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB dengan sebanyak RM10.84 bilion telah digunakan untuk tujuan pelunasan hutang 1MDB setakat 30 Jun 2022.

“Pada masa ini, dana itu masih berbaki sebanyak RM8.83 bilion (termasuk hibah dan untung atau rugi tukaran asing),” katanya. 

Selain itu, Tengku Zafrul berkata proses untuk mendapatkan semula dana 1MDB sedang berjalan dan menyifatkannya sebagai suatu proses rumit dan panjang serta boleh memakan masa bertahun lamanya.

“Ini bukan sahaja melibatkan kerjasama beberapa agensi tempatan dengan asing, malah turut meliputi proses perundangan di mahkamah dan proses rundingan penyelesaian,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap komited dalam meneruskan usaha untuk mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng, sama ada melalui tindakan undang-undang mahu pun rundingan penyelesaian.

“Matlamat utama adalah untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang 1MDB dan mengurangkan beban kewangan kerajaan,” kata beliau. – Bernama.