PRN JOHOR: CAWANGAN BUBAR, KELUAR PARTI KES BIASA MENJELANG PILIHAN RAYA - WAN FAYHSAL




SHAH ALAM: 8 Feb - Dakwaan ada cawangan parti terbubar dan ahlinya meninggalkan parti adalah perkara biasa berlaku setiap kali menjelang pilihan raya sama ada pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU), kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Bagaimanapun, Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa itu berkata sokongan terhadap parti termasuk Bersatu tidak boleh diukur berdasarkan kehilangan ahli sahaja kerana kemenangan sebuah parti politik dalam sesuatu pilihan raya juga ditentukan pengundi atas pagar.
"Saya rasa biarlah medan demokrasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini menentukan sama ada Bersatu relevan atau tidak. Insya-Allah saya yakin dengan jentera yang ada, dengan sentimen kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) yang masih kukuh, Bersatu dan parti lain mampu memberi kejutan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita sebagai mengulas laporan sebuah portal berita hari ini yang mendakwa lima cawangan Bersatu Bahagian Tanjung Piai iaitu Pekan Nanas Timur; Pekan Nanas Selatan; Ladang Sos Malaya; Melayu Raya dan Lubuk Sawah terbubar apabila ketua cawangan bersama lebih 300 ahlinya bertindak keluar parti serta-merta, malam tadi.

No comments: