KES BAG BERAT NI DAH TAK SELESAI SEJAK 20 TAHUN DULU....

 



(Video) ‘Tulang belakang anak bengkok 40 darjah’; ayah kesal ramai pelajar ‘mangsa’ beg sekolah berat





Imej x-ray Awin menunjukkan keadaan tulang belakangnya yang bengkok.

BANGI: Seorang pelajar terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini untuk membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah – masalah yang dikaitkan kepada menggalas beg sekolah berat saban tahun.

Bapa Nurul Hanim Fazwin, 17, Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, yang juga pakar kanak-kanak, yakin rutin menggalas beg sekolah berat bertahun-tahun bukan sahaja memberi kesan kepada anaknya, tetapi juga ramai pelajar sekolah di seluruh negara.

Susulan pembedahan itu, Nurul Hanim yang aktif bersukan sebelum ini, terpaksa menjalani kuarantin dalam ‘bilik sejuk’ di rumahnya. Beliau tidak boleh berpeluh sama sekali dan terpaksa menghuni bilik bersuhu 16 darjah celsius siang dan malam selama 21 hari.

“(Lepas ini) tak boleh bawa beg berat. Tak boleh jalan banyak sangat, tak boleh bersukan, tak boleh turun (naik) tangga,” kata Hanim, merujuk kepada nasihat pakar bedah.

Nurul Hanim Fazwin, 17, anak sulung daripada 11 adik beradik sangat aktif bersukan sebelum PKP dilaksanakan.

Beliau akan menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini, namun masa depan persekolahannya masih samar.

Walaupun sudah menyerahkan surat doktor kepada sekolah, ayahnya masih menunggu kelulusan guru besar untuk memastikan kelas anaknya dipindahkan ke tingkat paling bawah.

Tanpa kelulusan itu, Hanim jika kembali ke sekolah terpaksa ke kelas asalnya di tingkat tiga, lalu mendedahkan beliau kepada pelbagai risiko sekali lagi.

“Nak dapat kerjasama sekolah pun satu hal juga. Sebab semua kelas Tingkatan 5 semua kat atas. Bila minta turun ke tingkat bawah…entahlah. Kami dah bagi surat, mereka minta ibu bapa pula buat surat untuk mohon mengapa perlu minta kelas (diturunkan) ke bawah.

“Perkara ini tertakluk pada pengurusan sekolah. Dia tertakluk pada budi bicara guru,” katanya dalam nada kesal.

Zaqrul adalah pakar pediatrik di Pusat Perubatan Mawar, Seremban.

Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi mendedahkan banyak kes pelajar menderita tulang belakang bengkok di PPUM.

Di awal wawancara, beliau akur kajian dan penyelidikan sebelum ini tidak menghasilkan bukti konklusif isu menggalas beg berat satu-satunya faktor yang menyumbang kepada masalah tulang belakang dan pertumbuhan kanak-kanak dan remaja seperti anaknya.

Namun, meneliti rutin harian Hanim dan berdasarkan perbualan dengan doktor lain, serta apa yang dilihat dalam wad kanak-kanak hospital tertentu, hubung kait beg sekolah berat dan permasalahan kesihatan kanak-kanak tidak boleh diketepikan.

Zaqrul juga tidak mahu tutup mata kepada apa yang dilihatnya di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Bila saya pergi PPUM, sebenarnya lagi dahsyat-dahsyat punya kes. Seawal usia 14 tahun, (sudah) 55 darjah (tulang bengkok). Banyak budak-budak yang mula menderita,” kata beliau.

Reaksi ibu bapa lain

Zaqrul cuba mencetuskan kesedaran awam lebih meluas mengenai isu beg berat, sebagai ayah yang terkesan dan seorang pakar kanak-kanak berpengalaman.

Nurul Hanim kini terpaksa dipapah untuk berjalan dan turun naik tangga.

Beliau memuatnaik gambar sinar-x tulang belakang “rosak” anaknya di laman sosial Facebook. Ketika itu, beliau menyatakan “beg sekolah berat” antara faktor di sebalik keadaan Hanim.

Hantaran itu mengundang reaksi bertali arus ibu bapa yang turut berkongsi di media sosial pengalaman anak-anak mereka, termasuk yang hanya berumur tujuh tahun tetapi terpaksa menggalas beg sekolah seberat hingga 6kg.

“Bila budak bawa beg seawal Darjah 1, berat beg mereka senang-senang 4-5kg, berbanding berat badan budak Darjah 1 paling ringan 15-18kg. Bermakna mereka (menggalas beg sekolah) sepertiga daripada berat badan.

“Mereka sudah ‘dilatih’ untuk bawa (beg) begitu (dengan membongkok). Jadi bila dibawa pada seawal umur itu jadi secara automatiknya, ia akan tetap berlaku kerosakan semasa dia membesar,” kata pakar perubatan dan ayah kepada 11 anak itu.

Zaqrul enggan terjebak dalam perbahasan dengan pihak yang menuntut bukti nyata bahawa masalah tulang belakang kanak-kanak dan remaja adalah kerana menggalas beg sekolah berat semata-mata.

“Penyakit (tulang belakang bengkok) ini kita panggil ‘adolescent idiopathic scoliosis’. Adolescent maksudnya ‘remaja’, idiopathic itu kita kata ‘tak ada sebab’.

“Tapi memang budak banyak bawa beg (sekolah) berat. Sebab itu hantaran (Facebook) saya kata ‘dikatakan salah satu’. Dalam banyak kajian pun tak boleh pun tuduh secara langsung (sebab beg berat).

“Sebab itu ayat yang selalu doktor pakai ‘idiopathic’…tak diketahui. Tapi ia juga tak bermaksud kita boleh terima budak bawa beg berat,” kata beliau.

Zaqrul memberitahu, walaupun isu beg sekolah berat bukan perkara baru, ia masih gagal ditangani dengan tuntas oleh pihak berwajib.

“Zaman ke zaman…beg lagi berat. Satu subjek ada buku teks, buku tulis, buku latihan. Ada yang disarankan KPM dan ada juga buku yg disarankan guru sebab guru tak bersetuju dengan KPM. (Akhirnya) satu subjek (ada) empat buku.”

Zaqrul bertegas, isu beg sekolah berat perlu dijadikan polemik kebangsaan kerana percaya semakin ramai kanak-kanak bakal mengalami masalah sakit belakang jika ia tidak diselesaikan secara berkesan.

“Kementerian Pelajaran kena main peranan untuk ringankan beban. Pertama, ibu bapa pun kena tengok jadual anak-anak. Kita tak boleh kejar ’10A’, ’11A’…zaman banyak ‘A’ ini sudah berlalu. Kalau tanya saya, sudah tak relevan.

“Terjadinya Covid-19, orang belajar melalui internet, PDPR. Satu telefon (pintar) boleh (belajar) 10 subjek pada satu masa. Tapi 4G-5G (masalah internet) pula tak jalan!”

“Nak tak nak dia (kerajaan) kena buat 4G benar-benar 4G. Bukan 4G (tapi) pakai 3G. Buat 5G tapi pakai 3G juga,” katanya.

KPM pernah mengeluarkan pekeliling pada 2018 berkenaan isu beg berat; dengan menetapkan garis panduan khusus seperti menyusun tiga hingga empat subjek sehari, mewujudkan sistem loker, mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, menyediakan kemudahan air minuman percuma kepada pelajar, memeriksa berat beg pelajar secara berkala, dan lain-lain.

Hakikatnya isu itu masih panas dan memberi kesan kepada ibu bapa seperti Zaqrul serta anaknya Hanim.

No comments: