Terkini! Rosmah gagal lagi

 Terkini! Rosmah gagal lagi


Mohamed Zaini Mazlan kekal sebagai hakim perbicaraan dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor yang bernilai RM7 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pagi ini menolak permohonan isteri bekas perdana menteri, Najib Razak yang memohon supaya dia menarik diri daripada membicarakan kes jenayah terhadapnya.

Menerusi permohonan itu, Rosmah mendakwa hakim itu mungkin berat sebelah dan prejudis terhadapnya.

Zaini bukan sahaja mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah, yang masih belum dibicarakan, tetapi juga perbicaraan kes rasuahnya yang berterusan dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada 21 Okt, semasa peringkat pembelaan perbicaraan rasuah projek solar Rosmah, hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibilitinya dengan merujuk kepada pernyataan amaran yang diberikannya kepada SPRM semasa siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Terdahulu, pada 18 Feb tahun ini, Zaini mengarahkan Rosmah membela diri dalam kes rasuah projek solar itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya. Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Jan 2022.

Hakim Mohamed Zaini berkata beliau akan memastikan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar kerana hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

“Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar kekal di sana. Lagipun adalah menjadi tanggungjawab saya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak berat sebelah.

Hakim berkata dakwaan Rosmah mungkin berlaku prejudis kerana beliau (Hakim Mohamed Zaini) akan membuat perbandingan antara kenyataan dan pembelaannya dalam kes ini, adalah tidak berasas.

“Dalam kes solar, apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima kenyataan bagi mencabar tertuduh, saya memutuskan bahawa tiada soalan perlu ditanya berkaitan fakta kes pengubahan wang haram di sini.

“Semasa membuat keputusan itu, saya memutuskan bahawa nilai probatif bagi isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak melebihi kesan prejudis yang mungkin dialami oleh tertuduh.

“Dalam apa jua keadaan, peguam responden (Rosmah) semasa membuat penghujahan, meyakinkan saya bahawa isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan isu dalam kes ini,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah yang tidak hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Pada 2 Nov, Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar itu boleh secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.



No comments: