Semangat baharu pindaan MA63, rakyat Sarawak harus berani berubah - Anwar








Rakyat Sarawak yang mendapat semangat baharu selepas lulusnya pindaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam seharusnya meneruskan perubahan dengan melantik Kerajaan Negeri baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18 Disember ini.


Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pindaan MA63 tidak banyak makna sekiranya rakyat Sarawak tidak bersungguh sungguh menuntut hak hak mereka yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang baru dipinda di Parlimen hari ini, saya amat berharap seluruh rakyat Sarawak terutamanya untuk berani memungkinkan reformasi dan perubahan demi kepentingan rakyat dan negeri.


"Kegagalan demi kegagalan akan berterusan sekiranya kita terus dengan tampuk lama (kerajaan lama) yang tidak menjiwai nurani dan hasrat rakyat yang dambakan keadilan dan kesaksamaan," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, Presiden KEADILAN itu juga mahu jentera parti yang berkempen di Sarawak agar benar benar menyelami permasalah rakyat dan mengajak mereka bersama sama membentuk kerajaan yang lebih baik.


"Saya berada di Sarawak untuk beberapa hari pada hujung minggu lalu menjelajah dari Beting Maro hingga ke Bekenu.


"Tersentuh dengan kerukunan yang ditonjolkan oleh pelbagai suku kaum di Sarawak tatkala turun melihat cara hidup mereka di rumah-rumah panjang dan di kawasan pedalaman, dan ini ternyata menjadi elemen yang mengikat perpaduan antara kaum tidak hanya di Sarawak malah ia mesti terus diperkukuh di seluruh negara.


"Saya beritahu kepada calon-calon kita dari KEADILAN dan jentera untuk benar-benar memahami rintihan mereka serta mengangkat hak mereka yang tidak dipedulikan dan dipandang enteng oleh sebilangan petinggi politik yang hanya sibuk memunggah khazanah dan kekayaan negeri demi tembolok sendiri sejak beberapa dasawarsa lampau," katanya.


Sehubungan itu, Anwar mahu pengundi di Sarawak keluar beramai ramai lakukan perubahan pada PRN Sabtu ini.


"Sama-sama kita milih dan ngundi calon dari KEADILAN makei masa depan sidak anak cucu kita kelak!" serunya.