PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan menghentikan skim pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ahli mencapai usia persaraan 60 tahun.
Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata, pengeluaran wang caruman menerusi i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra keseluruhan bernilai RM101.1 bilion, dan membenarkan ini terus dibuat di masa depan akan mendedahkan ahli kepada risiko kemiskinan di usia emas.
“Pekerja tidak mempunyai wang simpanan mencukupi ketika persaraan untuk memenuhi keperluan mereka pada usia itu.
“Kerajaan mesti mewujudkan skim lain untuk membantu golongan ini, bukannya sekadar membenarkan pengeluaran simpanan KWSP yang sepatutnya digunakan ketika usia tua,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dasar sedia ada yang membolehkan pengeluaran satu pertiga simpanan pada usia 50 tahun, dan keseluruhan simpanan KWSP pada usia 55 tahun, perlu disemak semula terutama memandangkan usia persaraan telah dinaikkan dari 55 tahun kepada 60 tahun.
“Jelas wujud keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang yang meliputi program jaringan keselamatan sosial, pertumbuhan ekonomi mampan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, selain dasar untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti. Ini memberi pekerja peluang meraih pendapatan lebih tinggi seterusnya menyumbang ke arah simpanan KWSP mereka,” katanya.
Tambahnya, wabak Covid-19 telah memberi kesan terhadap landskap pekerjaan, dengan ramai pekerja yang kehilangan punca pendapatan ketika pandemik kini memasuki sektor tidak formal dan tidak mempunyai perlindungan keselamatan sosial.