Noh tempelak Amiruddin, dakwa dirinya masih Pengerusi MKN Selangor

 


Terkini! Noh tempelak Amiruddin, dakwa dirinya masih Pengerusi MKN Selangor


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar memaklumkan bahawa beliau masih lagi Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.

Bercakap dalam satu sidang media, Noh menafikan dakwaan yang dibuat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bahawa jawatan Pengerusi MKN telah bertukar tangan.

Malah Noh juga mendakwa apa yang dilakukan oleh Amirudin adalah cubaan untuk lepas tangan dari tanggungjawab yang sebenarnya.

“Saya nak bagitahu, saya terpaksa ‘sekolahkan’ Menteri Besar Selangor sebab apa yang viral semalam, nampaknya dia tidak faham sebenarnya.

“Saya masih lagi Pengerusi MKN Selangor bukan MB Selangor seperti yang viral semalam, harap Amirudin boleh faham.

“Menteri Besar jangan lepas tangan, jangan tunding jari salahkan sesiapa. Kalau dia nak lepas tangan lebih baik dia lepaskan jawatan,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Noh menjelaskan, sekiranya Amirudin memahami bidang tugasnya tidak akan timbul cakap-cakap kononnya tidak boleh mempengerusikan mesyuarat seperti yang didakwa.

Beliau juga menjelaskan terpaksa mengadakan sidang media bagi membetulkan salah faham yang timbul akibat berita yang tular pada Selasa.

“Menteri Besar mungkin dia tidak faham ada dua arahan berbeza dibawah MKN iaitu pertama pengurusan keselamatan negara.

“Yang kedua ialah Majlis Keselamatan Negara, Semakan Semula Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana negara, ini dua yang berbeza.

“Ini menunjukkan bila ada dua arahan ini maknanya ada dua jawatankuasa. Saya dilantik dibawah arahan nombor 1 iaitu isu keselamatan negara.

“Yang sepatutnya menteri besar tengok ialah arahan nombor 20 iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Dalam sidang media itu, Noh memaklumkan Amirudin telah memohon maaf ekoran salah faham yang timbul berkenaan isu Pengerusi MKN Selangor.

“Saya pun nak mohon maaf juga sebab terpaksa buat sidang media ini untuk jelaskan kekeliruan yang timbul dan saya telah maafkan beliau,” katanya, memetik Astro Awani.

Dalam sidang media itu, Noh juga menyenaraikan apa yang telah beliau lakukan sejak banjir melanda beberapa kawasan di Selangor.

Pada Selasa, Amirudin berkata beliau telah mendapat panggilan daripada MKN untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri berkenaan.

PM Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, belliau telah memaklumkan dalam mesyuarat MKN semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri Perumahan serta Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terlibat dengan Majlis Daerah dan sebagainya, supaya Menteri Besar boleh mengeluarkan arahan, juga kepada Pegawai Daerah (DO).

Ekoran itu, beberapa portal berita termasuk Malaysiakini dan FriendsofSelangor melaporkan Amirudin telah dilantik selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi Selasa, berkuat kuasa hari ini (Rabu).

No comments: