DATUK BANDAR PASIR GUDANG HINA AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG?

 

Pada 9 Disember 2021 saya telah menerima sepucuk surat rasmi jemputan ke Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Pasir Gudang pada hari ini 12 Disember 2021.

Surat itu bertarikh 6.12.2021, ditandatangani oleh Datuk Bandar sendiri, Dato’ Asman Shah Bin Abd Rahman dan diserahkan ke rumah saya pada 9.12.2021.Sesalinan benar surat jemputan tersebut dikembarkan di sini sebagai Lampiran A.

Malangnya semalam 11hb Disember 2021 saya dimaklumkan oleh Pegawai Khas saya bahawa jemputan tersebut telah dibatalkan oleh Datuk Bandar.

Saya diberitahu bahawa Pegawai Khas Datuk Bandar tersebut telah memaklumkan pembatalan tersebut secara lisan.

Tidak ada surat pembatalan secara bertulis secara hard copy ataupun soft copy disampaikan kepada saya.

Saya selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang dipilih oleh Rakyat Pasir Gudang dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu berasa aib dan malu diperlakukan seperti ini oleh Datuk Bandar pertama Pasir Gudang.

Jika memang ada niat tidak mahu menjemput Ahli Parlimen Pasir Gudang, sejak dari awal tidak payah hantar surat rasmi jemputan.

Tetapi melakukan Pembatalan tanpa sebab yang wajar adalah tidak manis, tidak berdiplomasi malah Satu perbuatan biadab yang tidak selayaknya dilakukan oleh seorang Datuk Bandar yang dilantik oleh kebawah Duli Sultan Johor.

Perbuatan Datuk Bandar Pasir Gudang ini bercanggah dengan semangat kerjasama Persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang di peringkat Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri Johor.

Datuk Bandar Pasir Gudang perlu maklum bahawa saya selaku Ahli Parlimen menyokong kuat kerjasama bi-partisan antara Kerajaan dan Pembangkang.

Di peringkat Parlimen Malaysia, walaupun saya seorang Ahli Parlimen Pembangkang dari Keadlan dan Pakatan Harapan tetapi saya telah dipilih sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Khas Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan.

Di peringkat Negara pula, walaupun saya seorang Ahli Parlimen Pembangkang tetapi saya telah dilantik oleh kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM yang ditugaskan menasihati Perdana Menteri dalam Hal berkenaan usaha memerangi Rasuah.

Sedihnya, di Pasir Gudang, Ahli Parlimen yang dipilih oleh Rakyat sendiri dihina dan diperlekehkan oleh Datuk Bandarnya sendiri.

Ada moleknya Datuk Bandar yang baru dilantik mengetuai Majlis Bandaraya Pasir Gudang ini Bekerjasama dengan Ahli Parlimen Di kawasan nya untuk faedah Rakyat di Pasir Gudang.

Dalam tempoh 4 bulan wujudnya Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang, Ahli Parlimen Pasir Gudang telah mengagihkan RM500,000 peruntukan yang diterima dari Kerajaan Pusat kepada sekolah-sekolah, Mesjid, surau, Kuil, tempat ibadat, NGO-NGO dan Rakyat jelata yang meme rlukan Kebajikan.

Selain itu, sebelum Datuk Bandar Pasir Gudang dilantik, Ahli Parlimen di Parlimen Pasir Gudang ini telah menggerakkan kerja mengagihkan bakul makanan sepanjang Perintah PKP dalam tempoh Pandemik Covid-19.

Di Parlimen, Ahli Parlimen yang dihina oleh Datuk Bandar ini tidak pernah berhenti memperjuangkan pembinaan Hospital Pasir Gudang Dan Projek Naik Taraf Lebuh Raya Pasir Gudang.

Elok juga Datuk Bandar Pasir Gudang sekarang berpakat baik-baik Dan Bekerjasama dengan Ahli Parlimen nya,kerana manalah tahu, dengan kuasa Allah parti politik yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang ini kembali jadi Kerajaan.

InsyaAllah Waktu itu banyak usaha bersama antara Datuk Bandar dan Ahli Parlimen dapat dilakukan untuk faedah Dan menafaat Rakyat di Pasir Gudang.

Sebagai rekod, dalam tempoh 22 bulan Ahli Parlimen Pasir Gudang berada di dalam Kerajaan di zaman Kerajaan Pakatan Harapan dulu sebanyak lebih 3 juta ringgit peruntukan Kerajaan telah dapat disampaikan oleh Ahli Parlimen kepada rakyat Pasir Gudang.

Ini adalah seruan saya kepada Datuk Bandar supaya kita berbaik sangka, Bekerjasama untuk kepentingan Rakyat di Pasir Gudang.

Jika hulur tangan perdamaian ini tidak mahu diterima Dan Datuk Bandar Pasir Gudang ingin bermain politik, maka dengan hormat nya saya syorkan supaya Datuk Bandar meletakkan jawatannya dan bertanding dalam arena politik dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

12 Disember 2021

s k.

1.Perdana Menteri

2.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

3.Akhbar

4.Umum




No comments: