Berwaspada, Najib akan menang, bekas pembantu beri amaran musuh

 

Najib Razak dibicarakan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan
 pengubahan wang haram. Bekas pembantunya berkata, Najib masih
 bersemangat tinggi meneruskan perjuangannya dan yakin beliau akan
 berjaya.


PETALING JAYA: Jika benar bekas Perdana Menteri, Najib Razak ialah dalang di sebalik kecurian dana berbilion ringgit 1MDB, kenapa beliau hanya terkait dengan secebis daripada jumlah wang lumayan itu?

Itu persoalan Romen Bose, bekas konsultan komunikasi politik kepada Najib, dalam bukunya yang mengupas kejatuhan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018.

Menurut Bose, RM42 juta dalam akaun peribadi Najib yang dikatakan milik SRC International hanya merangkumi “kira-kira 0.22% daripada ASD4.5 bilion (RM18.6 bilion) yang pihak berkuasa Amerika Syarikat dakwa dirompak daripada 1MDB”.

“(Berdasarkan hujah itu), tentunya baki 99.8% wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB diambil oleh dalang sebenar 1MDB dan rakan sejenayah,” katanya.

Romen Bose.

Bose berkata, penjelasan lebih logik mengenai skandal itu ialah Najib dijadikan mangsa dalam perancangan kompleks merompak 1MDB, dengan pihak yang mendalangi jenayah itu merasuah pegawai tertentu untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan Najib.

Katanya, plot licik itu turut melibatkan RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib supaya bekas Perdana Menteri itu akan dipersalahkan, jika rancangan itu terbongkar.

Selepas semua serangan ke atas Najib sejak skandal 1MDB didedahkan, Bose berkata, Najib kini bukan orang sama yang beliau kenali dahulu.

“Beliau masih seorang ‘gentleman’, tetapi beliau banyak belajar daripada pengalaman sejak beberapa tahun ini dan ini, bersama visi dan ideanya, akan membantunya pada tahun-tahun mendatang.

“Saya mengenali Najib sebagai individu yang sentiasa bersemangat tinggi untuk berjuang dan negara telah menyaksikan beliau berbuat demikian. Saya fikir musuh Najib yang bersekongkol melawannya, termasuk dalam Umno, harus bimbang kerana beliau tidak akan sekali-kali mengalah.

“Saya yakin beliau akan menang akhirnya. Musuh-musuhnya sepatutnya takut,” kata bekas wartawan agensi berita Perancis, AFP itu.

Kunci kestabilan politik Malaysia

Menyentuh hala tuju Malaysia, Bose berkata, kestabilan di Semenanjung hanya boleh dicapai, jika parti politik berteraskan orang Melayu dan Cina bekerjasama menubuhkan kerajaan dan berkongsi kuasa politik serta ekonomi negara.

“Walaupun minoriti lain seperti orang India juga mempunyai peranan, impak terbesar melibatkan hubungan orang Melayu-Cina berbanding kaum lain di Semenanjung.”

Bose berkata, kerjasama antara kaum Melayu dan Cina mampu meletakkan asas kukuh untuk memperkukuhkan hubungan dengan penduduk kaum lain di negara ini.

Katanya, pendekatan “menang-menang” itu boleh mengelakkan ketidakharmonian kaum yang mungkin tercetus, sekiranya sebuah kerajaan Melayu memegang kuasa sepenuhnya.

Bose berkata, ini menjadi asas kepada agenda 1Malaysia, Program Transformasi Nasional dan Model Ekonomi Baharu yang diilhamkan Najib untuk memartabatkan negara dalam semua bidang demi manfaat seluruh rakyat.

“Ironinya, mereka yang berkemungkinan besar memperolehi manfaat daripada dasar Najib ini tidak menyokongnya, sekali gus memaksa beliau mencari sokongan pihak lain yang sedia berbuat demikian, tetapi mahukan dasar lebih konservatif.”

Justeru, kata Bose, Najib terpaksa melakukan perubahan dan pelarasan tertentu terhadap dasarnya demi survival politik beliau.

Buku nukilan Bose yang bertajuk “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” merangkumi butiran bagaimana Najib dan pasukannya menangani kritikan serta isu berkaitan, apabila berita mengenai skandal 1MDB mula tersebar pada 2015.

Ia akan berada di pasaran mulai 14 Dis ini. Tempahan awal boleh dibuat melalui kedai buku ini:

Kinokuniya
MPH
Popular

Petikan daripada buku itu disiarkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA.

No comments: