Kejatuhan Pak Lah dan perang puak dalam Umno
PETALING JAYA: Sebuah buku baharu mengupas kejatuhan Barisan Nasional (BN) mendedahkan usaha Khairy Jamaluddin menyekat cubaan Mukhriz Mahathir untuk menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri sejurus selepas prestasi teruk BN pada pilihan raya umum 2008.
Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, didesak secara lantang untuk berundur oleh Dr Mahathir Mohamad yang sebelum itu melantiknya untuk menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2003.
Ketegangan antara dua pemimpin itu sudah pun wujud sebelum PRU 2008, sebahagian besarnya kerana keengganan Abdullah meneruskan beberapa projek mega yang terlebih dahulu diluluskan Mahathir, menurut bekas wartawan Romen Bose dalam buku itu.
Hubungan renggang itu juga akibat teguran Mahathir terhadap Khairy sebagai “budak tingkat empat” yang mempengaruhi keputusan-keputusan Abdullah yang juga bapa mertuanya. “Tingkat empat” merujuk kepada pejabat yang menempatkan penasihat dan pembantu Abdullah.
Dalam buku yang ditulisnya, Bose, bekas wartawan AFP, mengimbas panggilan telefon yang diterimanya daripada setiausaha akhbar Mukhriz, anak Mahathir beberapa hari selepas keputusan PRU 2008.
Setiausaha akhbar itu memaklumkan Mukhriz akan membuat “kenyataan sangat penting” di sebuah hotel di Pulau Pinang keesokannya.
“(Setiausaha akhbarnya) berkata Mukhriz akan menjadi antara pemimpin tertinggi Umno mendesak peletakan jawatan Pak Lah dan ia pasti menyebabkan pemimpin lain turut menuntut perkara (sama),” tulis Bose dalam bukunya “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government”.
Setibanya di hotel berkenaan di Seberang Prai, Bose mendapati suasana tegang dengan ramai yang hadir pada majlis itu “melihat satu sama lain secara curiga”.
“Jelas terdapat dua puak berbeza yang hadir dan kelihatan suatu pertarungan bakal berlaku,” tulis Bose yang juga bekas perunding komunikasi politik kepada Najib Razak.
Beliau kemudiannya mendapat tahu, Mukhriz memutuskan untuk membuat pengumumannya di tempat lain.
“(Setiausaha akhbarnya) berkata ia disebabkan ramai yang hadir di hotel yang ditetapkan sebelumnya bukan setakat penyokong Mukhriz dan Mahathir.
“Beliau berkata Khairy mendapat tahu Mukhriz mengadakan sidang media untuk mendesak bapa mentuanya berundur sebagai Perdana Menteri dan Khairy tidak rela membiarkannya,” tulis Bose.
Menurut Bose, beliau dimaklumkan Khairy mengarahkan penyokongnya dalam Pemuda Umno “mengganggu” sidang media Mukhriz “walau apa pun”.
Bimbang kemungkinan keganasan tercetus, Mukhriz dilaporkan menukar lokasi sidang media beberapa kali dalam cubaan mengelak “budak-budak Khairy”.
“Akhirnya, Mukhriz mengadakan sidang media itu. Tetapi, beliau tidak mendesak Pak Lah meletak jawatan secara terbuka. Ia pendekatan lebih bijak, mengambil kira risiko pergaduhan tercetus pada majlis itu.
“Keesokannya, Mukhriz menulis surat terbuka kepada Pak Lah, menggesa beliau berundur secara rasmi. (Lalu) pertarungan menggulingkan Pak Lah (sebagai PM) telah bermula,” tulis Bose.
Hajat mereka yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri tercapai tidak lama selepas itu.
Susulan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di mana Abdullah mengumumkan keputusannya untuk berundur, Bose memperolehi maklumat penting.
Beliau diberitahu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Jamaluddin Jarjis, mengenai apa yang Abdullah akan perolehi susulan peletakkan jawatannya, menurut buku itu.
“Jamaluddin mendedahkan Pak Lah dan isterinya akan dianugerahkan gelaran Tun, dan diberikan sebidang tanah bersebelahan Carcosa Seri Negara di Taman Tasik Perdana dan beberapa benda lain,” Bose menulis.
Pada Mac 2009, Abdullah meletak jawatan untuk Najib menggantikannya sebagai perdana menteri.
Buku ditulis Bose akan dijual mulai 14 Dis. Tempahan awal boleh dibuat melalui kedai buku ini:
Petikan daripada buku itu disiarkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA.