Rapuhnya demokrasi di Malaysia: Tiga sebab mengapa kita masih punya harapan


Kemunculan daya politik yang rencam, termasuklah penglibatan anak muda, pastinya menghala ke masa hadapan yang lebih baik

 


41 views

Water lily stalks from - BENEDICT LOPEZ

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Dikatakan bahawa demokrasi adalah bentuk kerajaan terburuk dari semua bentuk yang sudah dicuba dari semasa ke semasa; namun wujud rasa yang mendalam bahawa di negara ini bahawa rakyatnyalah yang perlu memerintah, dan pendapat umum yang dinyatakan lewat lunas perlembagaanlah, yang sepatutnya membentuk, membimbing serta mengawal tindakan para Menteri yang sepatutnya berkhidmat dan bukannya menjadi tuan. (Winston Churchill, 1947)

Ketika seseorang memetik ucapan penuh yang seringkali disalah tanggap dari pemimpin Tory asal British ini yang dibuat sewaktu dan selepas Perang Dunia Kedua berlaku, ia sebenarnya bukanlah kritikan ke atas demokrasi namun sebuah pujian ke atasnya.

Peliknya, Malaysia hari ini tampaknya berdepan dengan cabaran seperti yang digambarkan oleh Britain pada 1947 – di mana lewat demokrasi, walau apa pun keadaannya, rakyatnya perlu memerintah lewat lunas-lunas perlembagaan.

Segelintir di Malaysia bolehlah dimaafkan jika ada yang percaya bahawa “demokrasi adalah bentuk kerajaan terburuk dari semua bentuk yang ada”.

Demokrasi di Malaysia hari ini tampaknya seperti telur di hujung tanduk dan segala janji akan wujudnya ‘harapan baru’ seperti sudah tiada lagi. Malaysia menyaksikan pembaharuan pada pilihanraya umum 2018 yang menyaksikan pengakhiran kepada pemerintahan satu parti selama 60 tahun, namun ramai juga yang menyatakan bahawa di dalam masa tiga tahun yang pendek kemudiannya, ‘harapan’ itu berubah menjadi kelam. Menurut kata seorang pengkritik tersohor, politik semasa menjadi sebuah “syurga yang tak kesampaian”.

Namun, saya memilih pandangan yang berbeza. Masa hadapan yang dibayangkan oleh begitu ramai penganalisa serta cerdik pandai politik seakan terlalu berlebihan dan terlampau pesimistik. Sepatutnya kita ukurlah baju di badan sendiri dalam memahami keadaan ini.

Sekurang-kurangnya, ada tiga sebab pada pendapat saya dalam berkongsi naratif alternatif ini dengan para pembaca.

Ayuh kemukakan hujah paling kukuh bagi memahami pandangan alternatif di mana demokrasi di Malaysia barangkali terluka namun bukan untuk selamanya: 

1. Tiada pengulangan akan 13 Mei

Malaysia tidak terjebak dengan kekacauan politik atau ketidakstabilan politik diakibatkan oleh rusuhan kaum seperti yang dialami oleh peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa itu merupakan hari yang cukup gelap dilalui oleh generasi saya. Hubungan etnik sepanjang tahun lalu, tidak dinafikan cukup tegang. Namun, ia tidaklah seteruk lewat 1960-an dan awal 1970-an.

Kebimbangan yang lebih besar pada hari ini tampaknya lebih kepada sengketa sesama kaum berbanding konflik di antara kaum.

Namun kerencaman etnik yang cukup luas di negeri Malaysia Timur seperti Sabah dan Sarawak juga membantu dalam mengurangkan dan mencairkan pertembungan di antara Melayu dan bukan-Melayu.

Kerencaman etnik kelas pertengahan di Malaysia hari ini tidak mempunyai kecenderungan atau hasrat kepada keganasan di jalanan, yang tampaknya menjadi semakin biasa di negara-negara demokrasi di Barat hari ini.

Menariknya, isu utama hari ini lebih kepada persoalan Perlembagaan berbanding etnik.

Semua orang (termasuklah ahli politik Asean) gusar melihat bagaimana Parlimen kita digantung, walaupun hanya untuk tempoh seketika ketika Agong mengisytiharkan darurat disebabkan oleh pandemik.

Namun, semua orang bersyukur Parlimen kembali bersidang semula pada 1 Ogos 2021.

Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi, merasakan penggantungan Parlimen sewenang-wenangnya akan memberi kesan buruk kepada sistem perwakilan di mana ianya teras utama kepada lunas demokratik.

Namun, beliau turut berpendapat bahawa wujud sinar harapan ketika Parlimen digantung di mana perlaksanaan reformasi dapat dijalankan.  

Malaysia menyaksikan perjanjian keyakinan dan pembekalan di antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri serta pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.

Ini merupakan yang ‘pertama’ dalam amalan parlimen di negara kita. MoU inilah yang membuka ruang memudahkan Belanjawan 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12 pada Oktober 2021.

Barangkali, lebih banyak perubahan sistem parlimen akan berlaku – ironinya, dalam keadaan di mana kerajaan pusat berada dalam keadaan lemah. Kita menantikan pembentangan rang undang-undang ‘anti lompat parti’ [rang undang-undang bagi membendung lompat parti] yang penting ini walaupun saya merasakan ianya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

2. Pilihan raya berlaku walau ketika pandemik

Demokrasi pilihan raya tetap berjalan walau berdepan pandemik.

Kita sudah menyaksikan dua pilihan raya di peringkat negeri sejak pilihan raya umum 2018. Sebuah lagi, yang ditunda, akan berjalan tidak lama lagi. Saya merujuk kepada pilihanraya negeri Sabah pada 26 September 2020, pilihanraya negeri Melaka pada 20 November 2021 serta pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang pada 18 Disember 2021.

Melaksanakan pilihanraya ketika pandemik cukup mencabar. Jika langkah keselamatan yang sepatutnya diambil, ia bukanlah sebuah isu sebenarnya. Kerajaan Mahiaddin Yasin memang patut dikecam kerana mengadakan pilihan raya Sabah tanpa sebarang langkah berjaga-jaga yang sepatutnya, sekaligus mengakibatkan penularan kes Covid.

Perlaksanaan pilihan raya menunjukkan bahawa komponen penting politik demokratik di Malaysia memang terus diikuti, serta tatacara demokrasi di Malaysia tidak dipesongkan dari landasan.

Pun begitu, pemerhati pilihan raya Bersih menyatakan bahawa terdapat 35 salah laku melibatkan proses pengundian ketika pilihan raya Melaka. Bersih menyeru agar rakyat Sarawak dapat diberikan pelepasan mengundi di luar kawasan serta perlaksanaan Undi 18, iaitu menurunkan umur minimum mengundi kepada 18 tahun.

Namun, menteri undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, salah seorang anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memegang tampuk pemerintahan sekarang, mengumumkan bahawa pengundi di antara umur 18 ke 20 tidak dapat mengundi ketika pilihanraya di Sarawak, walaupun pindaan perlembagaan Undi 18 juga dijadualkan akan bermula pada 15 Disember nanti.

Demokrasi di Malaysia jelas masih dalam proses pembinaan, dan, mujur, dengan adanya organisasi seperti Bersih dan Aliran yang berterusan mendesak perubahan dan mengawal selia samaada keperluan penting melibatkan tatacara demokrasi agar terus berjalan.

Reformasi pilihanraya kekal menjadi agenda perubahan yang penting supaya demokrasi di Malaysia terus tumbuh. Dengarkan secara lanjut di siniar ini.

3. Lanskap politik yang rencam

Kekalahan Barisan Nasional pada 2018 merubah lanskap politik Malaysia.

Malaysia sudah pun berada di laluan di mana reformasi politik, yang akhirnya menghasilkan keputusan pilihan raya seperti yang kita lihat pada 2018.

Perubahan politik memang terjadi selepas 2018, termasuklah perubahan di Suruhanjaya Pilihan Raya serta tatacara pendaftaran pemilih, merendahkan umur minima mengundi ke 18 tahun, serta cadangan penting berkaitan reformasi sistem pengundian, yang terhenti akibat Langkah Sheraton tahun lalu.

Terdapat naratif songsang di mana Malaysia seakan-akan kembali ke politik lama selepas pilihan raya Melaka. Walaupun keputusannya menunjukkan bahawa BN kembali kukuh, dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi, politik di akar umbi tidak berubah banyak: BN memenangi dengan jidar undi popular hanya sebanyak 2.6%.

Undi popular yang diterima BN hanya 38.4% – cukup rendah di bawah paras kebiasaan 50%. Namun kerana sistem pengundian ‘first-past-the-post’ ini, gabungan pimpinan Umno berjaya mendapat kebanyakan kerusi yang ditandingi.

Dulu, waktu BN cukup berkuasa, mereka dapat memenangi 60-65% undi popular ketika pengundian. Namun semuanya sudah berlalu sekarang.

Lanskap politik Malaysia menyaksikan perubahan besar semenjak berakhirnya pemerintahan satu gabungan oleh BN dahulu. Hari ini, lanskap politik Malaysia membenarkan pelbagai daya politik untuk terlibat sebagai pemain politik.

Pilihan raya Sarawak yang akan datang bakal menyaksikan GPS untuk kembali ke tampuk kekuasaan, namun ia pasti akan dicabar. Melihat kepada betapa rencamnya daya politik yang muncul dari lanskap politik Malaysia yang berubah ini, di mana dulu hanya melibatkan dua daya politik utama yang mendominasi politik di peringkat pusat dan negeri, kini ia tidak lagi begitu.

Ini bermakna bahawa gabungan serta parti politik yang rencam menjadi tatanan pada hari ini. Kemunculan parti-parti baru, seperti Malaysian Democratic Alliance (Muda), juga memperkenalkan dimensi aktivisme anak muda di dalam penglibatan politik pengundian.

Perkembangan politik sebegini tidaklah sepenuhnya kelam bagi masa depan politik kita. Sebaliknya sesuatu yang cukup hidup, baru serta progresif pasti akan muncul kelak.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, Surat berita Aliran
7 Disember 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman