Pelantikan penasihat agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob tidak sesuai dilakukan di tengah-tengah kenaikan harga
barangan keperluan harian yang tidak terkawal.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir berkata,
pelantikan Mej.Jen. Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu hanya membazirkan dana
awam untuk membayar elaun serta tidak memberi nilai tambah bermakna kepada
negara.
"Pada pandangan AMK perlantikan ini tidak ada keperluan
melainkan hanya satu lagi pembaziran dari kerajaan BN hari ini.
"Pada hemat AMK Perdana Menteri sepatutnya fokus kepada
masalah kenaikan harga barang keperluan asas yang membebankan rakyat ketika
mereka cuba bangkit selepas krisis pandemik dan krisis ekonomi yang melanda
negara sejak 20 bulan lalu.
"Sejak Ismail Sabri dilantik sebagai PM isu kenaikan harga
barang semakin meruncing dan ianya menjadi semakin teruk selepas Pilihan Raya
Negeri Melaka yang mana terdapat banyak laporan kenaikan harga bahan mentah dan
keperluan asas.
"Perkara ini ternyata membebankan rakyat dan kegagalan dalam
mengawal kenaikan harga barang selain alasan-alasan dangkal punca kenaikan
membuktikan kerajaan BN tidak peduli akan 'keluarga Malaysia' yang
terbeban," katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mempersoalkan apakah Menteri
Agama dari Pas, Idris Ahmad tidak mampu menasihatkan PM.
Atau pun PM tidak mahu menerima nasihat agama dari Pas tetapi
perlukan nasihat agama versi Umno?
Bagaimanapun, katanya, melantik Jamil yang sebelum ini terlibat
dengan dakwaan pembaziran di YaPEIM hanya memburukkan imej PM sendiri.
"Adakah perlantikan pemimpin Umno selaku Penasihat Agama
sebagai bukti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) YB Idris Ahmad dari
Pas tidak berfungsi sebagai Menteri? Atau adakah ini isyarat Umno akan
mengenepikan Pas dan
hanya mempergunakan Pas bagi mencukupkan sokongan terhadap Ismail
Sabri?
"AMK juga melihat Penasihat Agama yang baru dilantik sebagai
bukti kegagalan Duta Khas Ke Timur Tengah dalam menjalankan tanggungjawab
sepanjang menjawat jawatan berkenaan sejak 2 April 2020.
"Selain sebagai 'habuan' kepada pemimpin Umno, perlantikan
ini juga manifestasi kepada usaha Umno memperkukuhkan kedudukan dan
mengenepikan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
"Rakyat tidak akan lupa ketirisan yang berlaku ketika Jamil
Khir menjawat Menteri Agama, antaranya dakwaan salahguna dana Yayasan
Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk membeli 'golf simulator',
membazir wang rakyat menganjurkan kursus perkahwinan di Paris dan kegagalan
beliau mengurus Tabung Haji," katanya.
Tegas Akmal, AMK amat dukacita demi kelangsungan hidup Umno,
Ismail Sabri memberi 'nyawa' kepada bekas Menteri yang gagal sebagai Penasihat
Agama.