Hari ini genap 100 hari Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah jawatan pada 21 Ogos lalu.
Dalam penegasan kepada barisan kabinetnya beberapa hari kemudian, Ismail Sabri mahu para menterinya membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama mereka memegang jawatan.
Justeru katanya, para menteri perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Saya akan pastikan kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi,” tambahnya lagi.
Dalam hal ini, sementara menteri-menteri diminta menunjukkan prestasi mereka dalam tempoh 100 hari, tetapi apa pula prestasi dan pencapaian Ismail Sabri sendiri?
Apakah beliau berjaya, cemerlang atau gagal dalam 100 hari pertama ini?
Untuk itu, saya telah mendapatkan pandangan rambang pelbagai tentang sama ada rakyat sebenarnya puas hati atau tidak terhadap keberadaannya sebagai Perdana Menteri.
Rata-rata yang ditanya memberikan jawapan hambar dan mereka tidak nampak ada pembaharuan atau idea baru yang diperkenalkannya sejak 100 hari lalu.
Ismail Sabri, kata mereka, hanyalah Perdana Menteri yang menjalankan tugas-tugas pentadbiran biasa dan melakukan sambungan kerja apa yang telah dilakukan oleh Mahiaddin Md Yasin sebelum ini saja.
Malah, mereka berkata, Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri juga menciplak apa yang pernah dilancarkan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, selain konsep itu tidak ubah seperti 1Malaysia yang diperkenalkan Najib Razak pada 2013 dahulu.
Turut agak mengejutkan apabila anak-anak saudara saya yang masih bersekolah yang berusia antara 16 dan 17 tahun serta bakal menjadi pengundi tahun depan bila berusia 18 tahun, hanya mampu memberikan jawapan “entah” apabila ditanya tentang pembaharuan dan prestasi Ismail Sabri.
Agak-agak BN boleh dapat tak undi 18 ini jika Ismail Sabri masih dipertaruhkan sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15 nanti?
Secara umumnya juga, berdasarkan reaksi yang diperolehi itu, kesimpulan yang boleh dibuat ialah Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri yang dianggap gagal dan paling lemah setakat ini.
Kalau dulu Tun Abdullah Badawi dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah dan kemudian apabila Mahiaddin jadi Perdana Menteri, Presiden Bersatu itu dilihat lebih lemah daripada Tun Abdullah Badawi, kini tanpa keraguan lagi Ismail Sabri adalah penyandang juaranya.
100 hari berlalu tanpa sesuatu yang mengesankan di hati rakyat, tiada dasar atau pendekatan baru, khusus dalam merangsang ekonomi pasca pandemik Covid19, ini adalah sesuatu yang amat malang sekali buat negara ini.
Walhal dengan adanya MOU dengan blok pembangkang PH, Ismail Sabri sepatutnya mampu melakukan lebih banyak usaha untuk kebaikan rakyat dan juga negara.
Malangnya, MOU yang berasaskan transformasi dan kestabilan politik itu langsung tidak menyerlahkan adanya perkara-perkara baru yang dilaksanakan untuk faedah rakyat dan negara.
Yang terserlah, beliau seolah-olah telah menjadikan MOU itu sebagai jalan kebebasan untuknya melakukan apa saja bagi mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO dengan melantik demi melantik pemimpin-pemimpin parti yang dirasakan boleh menyokongnya dengan pelbagai kedudukan, jawatan serta habuan dalam kerajaan.
Dalam tempoh 100 hari ini, kalau ada pun prestasi cemerlang Ismail Sabri yang boleh menjadikannya lebih hebat, ia hanyalah kemampuannya melaksanakan “scheme of things” melebihi apa yang Mahiaddin telah lakukan hingga beliau kini dijolok dengan gelaran “Bapa Perlantikan Negara”.
Kalau mahu dibandingkan dengan Mahiaddin juga, bekas Perdana Menteri itu jauh lebih diterima umum pada peringkat awal beliau memegang jawatan Perdana Menteri berbanding Ismail Sabri sekarang.
Hanya di hari-hari seterusnya, terutama kerana dilihat bersubahat mengganggu kerajaan Sabah sehingga diadakan PRN, kemudian wabak Covid19 merebak semula, melaksanakan PKP demi PKP yang disusuli darurat serta menggantung Parlimen untuk melindungi jawatannya, barulah ketika itu secara perlahan-lahan kedudukannya menjadi pertikaian ramai.
Tambah buruk lagi kerana Mahiaddin lebih memilih pendekatan muncul melalui perutusan khas saja sehingga beliau mencatat rekod sebagai Perdana Menteri paling kerap di dunia muncul secara sehala dalam tempoh 17 bulan berkuasa, tetapi hanya sekali dua berani bersemuka dengan media.
Banyak isu-isu yang muncul langsung tidak diendahkan oleh Mahiaddin sehingga akhirnya kemarahan rakyat kian membesar hari demi hari, lalu ia menjadikan beliau tersungkur sudahnya.
Tidak belajar daripada kejatuhan Mahiaddin, Ismail Sabri turut memilih pendekatan mengunci mulut dalam banyak isu yang muncul dan yang menjadi perhatian rakyat.
Dalam isu rumah RM100 juta untuk Najib yang diluluskan secara dasar oleh kabinet, meskipun seluruh rakyat bercakap mengenainya sehingga bekas Perdana Menteri itu menarik balik permohonannya, Ismail Sabri masih gagal berkata apa-apa mengenainya sehingga ke hari ini.
Dahulu ketika saya mengecam Mahiaddin yang selalu bersembunyi dan tidak menjawab isu-isu dalam negara, saya kerap membandingkan seorang Perdana Menteri adalah ibarat panglima perang di medan pertempuran.
Mereka tidak boleh bersikap kaku dan tidak agresif, sebaliknya mesti sepanjang masa mempamerkan kepimpinan meyakinkan dengan kata-katanya adalah azimat untuk menangkis segala serangan dan ketidaktentuan.
Begitulah dengan Perdana Menteri, mereka mesti sentiasa muncul dan dilihat bersama rakyat, di samping tidak boleh berdiam diri terhadap apa juga perkara yang berlaku dalam negara.
Dengan Ismail Sabri suka memilih berdiam diri dan bersembunyi seperti Mahiaddin juga, selain tiada apa-apa yang baru atau gah untuk rakyat serta negara dilakukannya, laluannya kalau dapat melebihi 17 bulan pun sudah cukup baik sebenarnya.
Rakan-rakan dalam UMNO sendiri hanya mampu geleng kepala sama ada BN mampu menjadi pilihan pengundi dalam PRU15 akan datang kiranya ditakdirkan Ismail Sabri menjadi pilihan untuk dinamakan lagi sebagai calon Perdana Menteri.
Tanpa ragu-ragu mereka menyebut Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin adalah antara figura yang lebih baik dan lebih mampu mendatangkan keyakinan rakyat berbanding Ismail Sabri.
Tidak kurang yang mengatakan jika pada 8 Disember ini, rayuannya diterima di Mahkamah Rayuan, Najib lebih baik dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri.
Kata mereka berseloroh, jangankan mendengarnya berucap, melihat Ismail Sabri berdiri atau berjalan saja pun tidak memberi apa-apa tarikan atau keyakinan kepada rakyat.
Kesimpulannya, majoriti rakyat melihat dalam tempoh 100 hari pertama ini, Ismail Sabri hampir tiada prestasi dan keupayaan mentadbir negara ini sebagai Perdana Menteri.
Ada atau tidak beliau sebagai Perdana Menteri, semuanya nampak sama saja.
Bahkan kadang-kadang seperti dirasakan negara ini tiada Perdana Menteri ketika ini.
Ibarat dalam sebuah rumah, jika seorang ayah itu tidak berfungsi kepada ahli-ahli keluarganya, ada atau tidak, ia sama saja. –
ShahbudinHusin 28/11/2021.